Jangan Bila Dah Tua, Baru Nak Cari Kami

“ Seniman adalah persatuan atau badan kebajikan. Bukan semua masalah artis kita boleh selesaikan, jangan bila dah ditimpa musibah baru ingat Seniman,” luah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang menyelar tindakan segelintir artis yang sewenang-wenangnya menyalahkan persatuan hanya apabila sudah ditimpa musibah.

Tambah Zed, dia kecewa dengan segelintir artis yang tidak pernah hadir pada acara yang diadakan Seniman namun begitu ‘galak’ mengkritik menerusi sosial media.

“ Saya tidak menuding jari ke mana-mana artis. Cuma saya kecewa bila ada yang kata Seniman tidak jalankan tanggungjawab membela nasib golongan artis,” katanya di Majlis pelancaran Kenderaan Khas Seniman, semalam.

Tambah Zed, beliau kecewa apabila sukar untuk melihat kelibat artis muda hadir di majlis melibatkan Seniman.

” Jangan apabila sudah tua dan hidup penuh dengan masalah, baru cari Seniman. Kalau betul-betul ingin kami bantu, dekatkanlah diri dengan kami dan minta di saluran yang betul. Jangan apabila sudah kami tolong, kata kami tidak pernah pernah menghulurkan bantuan langsung,” katanya lagi. 

Sementara itu, Seniman kini mempunyai satu unit kenderaan khas pelbagai guna yang mempunyai 15 tempat duduk penumpang. 

“Alhamdulillah, kenderaan khas ini akan digunakan untuk membantu ahli persatuan dalam pelbagai hal seperti membawa ahli-ahli yang sudah uzur untuk ke hospital dan sebagainya. 

“Kenderaan khas ini juga boleh disewa kepada mana-mana badan atau persatuan lain yang mempunyai hasrat untuk digunakan bagi tujuan tertentu yang mendatangkan kebaikan,” akhirinya.

 

SGMS Faida