Categories: HiburanSelebriti

Jangan Salah Anggap, Saya Bukan Ustaz

Bergelar anak seni lebih daripada 20 tahun, pelakon Saiful Apek mengaku fasa untuk melalui zaman populariti bukan lagi fokus utamanya.

Ketika ditemui di Majlis Pengumuman Festival Ramadan Putrajaya, pelawak berusia 49 tahun ini memaklumkan ‘kehilangan’ beliau dalam industri bukanlah disebabkan merajuk atau bertukar bidang.

“ Jangan salah faham, saya masih aktif cuma ya lah, saluran TV dan banyak sekarang, mungkin penonton terlepas pandang kelibat saya.

“ Adakala saya turut dijemput sebagai tenaga pengajar, juri…syukur ada pihak yang masih memerlukan khidmat saya,” katanya tenang.

Pernah dijulang sebagai Bintang Paling Popular 2003, beliau kini lebih aktif menjalankan program Islami bersama penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus.

“ Sejak tahun lalu, selepas terlibat dengan program tahun baru di Kelantan bersama beliau, saya sering mengikutnya ke ceramah di masjid- masjid seluruh tanah air.

“ Ke kampung- kampung atau daerah terpencil, beliau tetap membawa saya. Jangan salah faham, saya bukan ustaz lagi. Saya tekankan di sini, saya hanyalah crowd puller (untuk menarik lebih ramai orang),” katanya.

Peluang untuk bekerjasama dengan Ustaz Azhar Idrus dianggap sebagai pengalaman paling bermakna baginya…

“ Percaya atau tidak, walaupun bayaran saya dapat tidak lagi seperti dulu, tetapi saya kini lebih tenang.

“ Kalau dulu bayaran untuk program melibatkan saya ada yang mencecah ratusan ribu ringgit, namun saya tidak pernah rasa setenang sekarang,” katanya.

Dalam masa sama, bapa kepada dua orang anak ini turut meminta pihak di luar sana agar tidak salah anggap mengenai hijrah kecil beliau.

“ Kadang-kadang orang fikir, bila artis itu popularitinya dah suam-suam kuku, mulalah dia nak berhijrah. Jangan salah faham, saya bukan ustaz, sekadar membantu menarik lebih ramai orang untuk menghadiri program-program Islamik melibatkan Ustaz Azhar Idrus,” akhirinya.

Saiful Apek juga bakal sibuk pada bulan Ramadhan ini kerana bakal terlibat dalam sebuah penggambaran sitkom untuk tayangan sebuah stesyen televisyen berbayar. 

SGMS Faida