Julia Farhana Bakal Nikah Dr Che Hafiz Dalam Masa Terdekat – “Persiapan Kahwin 90% Siap”

Pelakon Julia Farhana Marin bakal bernikah dengan tunangnya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum dalam masa terdekat.

Tidak mendedahkan tarikh hari bahagia mereka secara spesifik, Julia sedang giat melakukan persiapan perkahwinan.

“Setakat ini memang kami sedang buat persiapan, sudah masuk 80 hingga 90 peratus. Insya-Allah kami akan berkahwin dalam masa terdekat.

“Saya sebenarnya sangat sibuk, tak jumpa pun bakal suami. Syukur kerana keluarga kami berdua memberikan sokongan. Kita bahagikan tugas dan setakat ini semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Julia mendedahkan ramai pihak yang tidak tahu mengenai berita pertunangan mereka.

“Kami berdua sangat mementingkan privasi. Ramai orang tak tahu apa yang kami lakukan. Pelbagai spekulasi yang timbul kerana kami banyak rahsiakan kehidupan peribadi kami.

“Orang tak tahu kami bertunang kerana itu adalah aturan keluarga. Saya mengenali bakal suami pun melalui ibu saya. Ibu saya dah lama kenal dengan dia dan suka dengan personalitinya.

“Saya sendiri tak ada niat pun nak berkahwin awal, saya gembira dnegan karier saya dan saya nak fokus dalam bidang seni. Tapi, bila berkenalan dengan Dr Che Hafiz, dia sangat baik, matang, boleh dibawa berbincang dan ada ciri-ciri calon suami.

“Selama ini, sukar untuk saya temui jejaka yang memahami kerjaya saya, lebih-lebih lagi situasi saya yang mahu membina kerjaya dalam bidang seni. Jadi, kali ini saya mendengar saranan ibu saya dan segalanya dipermudahkan,” katanya.

Julia ditemui di majlis pelancaran Flagship Store Rizman Ruzaini yang bertempat di Shoppes At Four Seasons Place, Kuala Lumpur, semalam.

Selain Julia, acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan lain seperti Hawa Rizwana, Uyaina Arshad dan Afifah Nasir.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Rizman turut mengumumkan perlancaran koleksi RR RTW Musim Luruh/Sejuk 2022.

Sempena pembukaan Butik RR FlagShip Store ini, Rizman Ruzaini juga menawarkan potongan harga besar-besaran dalam menghargai pelanggan mereka.

Padin