Penyanyi sensasi dunia, Justin Bieber mengumumkan pembatalan siri jelajah dunia, Justice World Tour yang masih berbaki termasuk di beberapa negara Asia dan di Malaysia, bagi memberi perhatian kepada masalah kesihatan yang dihadapinya.

Jun lalu, Justin Bieber mengejutkan peminatnya dengan khabar apabila dia dilaporkan diserang sindrom Ramsay Hunt.

Terbaharu, mengumumkan pembatalan siri jelajah itu melalui hantaran di Instagram, keputusan menamatkan siri jelajah itu dibuat selepas mendapati kesannya kepada kesihatan terutama usaha memulihkan masalah ‘kelumpuhan wajah’ itu.

“Selepas berehat dan berunding dengan doktor saya, keluarga dan pasukan, saya pergi ke Europè dalam usaha untuk meneruskan dengan konsert jelajah itu.

“Saya melakukan enam pertunjukan langsung, tetapi ia mengambil risiko sebenar kepada saya. Hujung minggu lalu, saya buat persembahan di Rock in Rio dan saya memberikan semua yang saya ada kepada rakyat di Brazil,” tulisnya.

Bieber juga berkata, keletihan mementaskan konsert mendorong dirinya memberi keutamaan kepada kesihatan.

“Sehubungan itu, saya akan berhenti daripada beraksi di konsert buat sementara waktu.

“Saya akan okey tetapi perlukan masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan,” katanya.

Menutup tulisannya itu, Bieber meluahkan rasa bangga dapat mementaskan Justice World Tour dan berkongsi mesej positif di sebalik persembahan itu dengan peminat.

“Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini. Saya sangat sayangkan kamu,” ujarnya.

Sumber: IG justinbieber

Khairil Khusyairi