“Kalau Ada Jodoh, Adalah…” – Puteri Sarah Liyana

Aktres popular Puteri Sarah Liyana mengakui tidak terfikir soal jodoh dalam masa terdekat sebaliknya mahu memberi fokus terhadap anak-anak dan kerjaya.

Menurut laporan Berita Harian, Puteri Sarah berkata, dia kini hanya mahu memberikan yang terbaik buat kehidupan anak-anaknya selepas berpisah dengan bekas suami yang juga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, Jun lalu.

“Saya tak terfikir langsung untuk mencari jodoh. Fokus sekarang mahu mencari duit dan menjadi kaya.

“Soal cinta tolak tepi dulu, saya nak cari duit sendiri. Bila sudah kaya barulah fikirkan soal mencari pengganti.

“Bila bergelar ibu, saya sudah tak fikir sangat soal diri sendiri, tetapi keutamaan lebih kepada anak-anak, kerjaya serta orang terdekat. Saya akan fikir pasal orang lain dulu, keperluan sendiri jatuh nombor dua.

“Lagipun, saya nak besarkan anak-anak, cinta itu nantilah. Kalau ada jodoh, adalah…,”ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Suri Hati ini turut menjelaskan hubungan akrab dengan pelakon Indonesia yang juga rakan kongsinya iaitu Andi Arsyil Rahman.

Ujar Puteri Sarah, dia kerap bertemu dengan Andi atas urusan kerja dan mereka bersikap profesional.

“Secara kebetulan, Andi adalah pengeluar, jadi saya terfikir kenapa tidak ambil peluang jadi pengedar bagi pasaran tempatan.

“Insya-Allah, Andi akan ke Kuala Lumpur, bulan hadapan kerana kami merancang untuk membuka kilang bagi bagi menjimatkan kos untuk diedarkan ke Singapura.

“Persoalan jika hubungan rakan niaga bertukar menjadi cinta, itu kita tengoklah nanti. Lagipun, saya berkawan dengan semua orang dan tak mahu dilabel tak sedar diri,” katanya.

Terdahulu, Puteri Sarah mencetuskan pelbagai reaksi warganet apabila berkongsi foto tangan seorang lelaki yang sedang memegang telefon.

Terdahulu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi Foto Tangan Lelaki, Puteri Sarah Jumpa Pengganti Baru? Netizen Pula Petik Nama Pelakon Indonesia!

ARTIKEL BERKAITAN: “Takkan Saya Nak Kacau Orang Punya!” – Gambar Tangan Lelaki Di IG Story Jadi Tanda Tanya, Ini Penjelasan Puteri Sarah… 

Sumber: Berita Harian 

Khairil Khusyairi