“Kelemahan Saya Bila Pengantin Pakai Eyelash Extention…” – Makeup Intan Najuwa Dikritik Terlampau ‘Heavy’ & Tak Cantik, Alha Alfa Tampil Beri Respons!

Jurusolek popular yang juga merupakan usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa tampil memberikan respons terhadap kritikan yang diterimanya selepas memuat naik hantaran foto pelakon, Intan Najuwa ketika majlis perkahwinannya pada Jumaat lalu.

Katanya, dia memohon maaf jika terdapat segelintir warganet yang tidak berpuas hati dengan hasil solekannya itu dek kerana menganggap solekan tersebut terlalu berat sehingga mengubah wajah dan kecantikan semula jadi aktres berkenaan.

Malah, dia menegaskan mempunyai sebab tersendiri kenapa orang ramai melihat solekan tersebut terlalu ‘heavy’ dan kelihatan tidak cantik.

“Sorry guys, if anda rasa makeup Intan terlalu heavy. Kelemahan saya bila pengantin pakai eyelash extention siap sedia.

“Saya tak salahkan pengantin, cuma orang luar akan salahkan saya kata ‘kenapa bulu mata tebal? Dia makeup simple lagi cantik?

“Makeup harini huna satu pump foundation sahaja. Dap-dap pakai sponge sampai hilang foundation, sebab nak bagi natural. Tetapi disebabkan tidak adapat ambil gambar dari natural lighting (matahari) sebab hujan, jadi bila guna lighting akan nampak tebalnya.

“But, it’s okay… Intan happy, saya pun happy,” katanya.

Perkara itu dikongsi Alha atau nama penuhnya, Abdul Halim Mohd Al Fadzil, 35, menerusi hantaran di Instagram Story (IGS) miliknya baru-baru ini.

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan balas hantaran berkenaan, terdapat segelintir warganet memuji sentuhan Alha yang dikatakan berjaya menaikkan seri wajah Intan.

“Cantik sangat Datuk, naik seri wajah pengantin.

“Love sangat solekan Datuk, beza sangat dengan wajah asli Intan.

“Cantiknya, betul-betul naik seri pengantin tu,” komen netizen.

Sebelum ini, Alha pernah terpalit dengan kontroversi apabila ada pihak yang cuba membandingkan hasil solekannya dengan jurusolek Thailand, Barbara Beer.

Salma Syahbuddin