Kes Gangguan Seksual Ebit Lew, Polis Rampas Telefon Firdaus Wong

Kes perbicaraan membabitkan gangguan seksual pendakwah bebas popular, Ebit Lew berlangsung hari ini dan saksi pendakwaan keenam memaklumkan ada membuat rampasan satu unit telefon bimbit milik pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Ebit Lew atau nama sebenarnya  Ebit Irawan Ibrahim, 37, hadir di Mahkamah Majistret Tenom dengan memakai pakaian serba hitam dan berkopiah putih.

Menurut Ketua Unit Siasatan Kanak-Kanak di bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superintendan Hirdawaty Isa, dia memaklumkan, telah menerima arahan dari pegawai penyiasat, Superintendan Noor Asyikin Shamsuri untuk menjalankan rampasan sebuah telefon bimbit milik salah seorang saksi pendakwaan,  iaitu Firdaus Wong pada 28 September 2021.

Tambahnya, telefon bimbit yang dirampas adalah jenis Iphone XS Max berwarna putih berserta satu kad sim Digi.

Pada prosiding 21 Disember lalu, Firdaus Wong memberitahu mahkamah, dia tidak mengetahui sama ada ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) ada menghantar gambar lucah kepada Ebit.

“Beliau (pengadu) memang tidak pernah memberitahu kepada saya. Malah, saya juga tidak bertanya kepada beliau dan ini kali pertama saya melihat gambar berkenaan.

“Saya juga tidak boleh pastikan sama ada gambar lucah itu adalah gambar payudara ‘pengadu’ (identiti tidak didedahkan) atau orang lain,” katanya pada prosiding itu.

Firdaus berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada sesi pemeriksaan semula perbicaraan kes gangguan seksual mengaitkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom.

Untuk makluman, prosiding perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan Ebit Lew disambung di Mahkamah Majistret Tenom bermula hari ini sehingga 10 Februari depan.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin