‘Len Macam’ Umpama Transformasi Buat Kayda

Setelah hampir setahun tidak muncul dengan mana-mana karya, artis hip-hop melayu tanah air, Kayda Aziz kembali dengan membawakan single hip-hop terbaharu yang berjudul ‘Len Macam’.

‘Len Macam’ merupakan hasil ciptaannya sendiri dengan komposer muda berbakat iaitu DJ Ziqq.

“Saya anggap lagu ini ibarat kelahiran semula saya setelah sekian lama tidak menghasilkan single baharu,” jelas Kayda.

Menurut Kayda atau nama sebenarnya Wan Nur Khaleda Aziz, lagu ini ibarat transformasi dirinya sebagai seorang individu yang baharu dari sebelum ini.

“Saya mengambil masa untuk diri sendiri dengan memikirkan tentang kehidupan dan kerjaya kerana banyak yang telah saya lalui dalam kehidupan peribadi dan juga profesional, kini saya kembali dengan lebih kuat, bijak dan baik dari sebelumnya.

“Lagu ini menyaksikan transformasi saya sebagai seorang individu yang baharu dan dinaik taraf. Saya sering mendengar rakan-rakan dan keluarga menyebut ayat LEN MACAM ketika berborak, jadi saya rasakan ia idea yang bagus jika dijadikan lagu, manakala melodinya pula terinspirasi daripada lagu yang dibawakan oleh penyanyi Latin antarabangsa, Rosalía,” jelas Kayda lagi.

Berkongsi lanjut, Kayda hanya mengambil masa selama 4 jam untuk merakamkan lagu ini dalam dua versi iaitu Melayu dan Inggeris.

“Selain proses rakaman lagu, rakaman video muzik berlarutan sehingga 20 jam yang memaparkan pelbagai visual dengan tujuh persalinan yang berbeza oleh pereka fesyen terkenal, Gillian Hung, Afiq M dan pereka hiasan kepala, Bremen Wong.

“Fesyen dan muzik sentiasa seiringan dengan saya, saya mahukan sebuah tema yang ceria dan menarik bagi menggambarkan keraian dan kekuatan, segalanya telah dilaksanakan oleh team Black Visuals Production,” tambah Kayda.

‘Len Macam’ sudah boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Video muzik single ini pula juga sudah boleh ditonton tetapi hanya di saluran Youtube Kayda sendiri.

Izzi Farhana