Mahu Ubah Selera, Wany Hasrita Selit Elemen Muzik Indonesia Dalam Single Terbaru

Selepas lagu Menahan Rindu dan Rintihan Rindu, penyanyi Wany Hasrita bakal tampil dengan single terbaru, Suara Hati.

Wany ketika ditemui sejurus pengumuman lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu 33 memberitahu naskah terbarunya ini mendapat kerjasama daripada komposer Sharon Paul.

“ Single terbaru saya juga berentak balada. Bezanya, peminat dapat dengar elemen muzik ‘Indonesia’ dalam lagu terbaru itu nanti.

“ Ini merupakan percubaan pertama saya dalam menyanyikan lagu sebegini. Saya harap Suara Hati dapat membuktikan kepada pendengar kemampuan sebenar vokal saya. Mungkin ia boleh jadi batu loncatan dalam karier nyanyian saya selepas ini, doakan,” katanya kepada xtra.com.

Sebelum ini, ada segelintir pengikut di Instagramnya yang mempertikaikan tahap vokal Wany yang dianggap sederhana namun laluannya dalam industri dilihat naik mendadak sehingga bergelar Bintang Paling Popular 2018.

“ Mungkin mereka belum lihat kelebihan yang ada pada diri saya. Buah tangan terbaru saya ini bakal menjawab segala-galanya. Insya Allah,” katanya.

SGMS Faida