Mampu Makan Buffet, Jangan Meroyan Pasal Ekonomi…

Pelakon dan penyanyi jelita, Maya Karin, menegur sikap suka membazir segelintir masyarakat yang sanggup berbelanja besar, semata-mata mahu menikmati bufet Ramadan di restoran atau hotel mewah.

Pelakon filem Munafik 2 itu meluahkan pendapatnya itu di laman sosial Twitter dan Instagram miliknya, semalam.

“Saya ‘fed-up’ dengan harga mengarut bufet Ramadan. Dan individu dan syarikat masih membayar sehingga RM150 hingga RM200 untuk dewasa dan RM80 hingga RM100 untuk kanak-kanak. Apa yang mereka makan? Nasi sikit, ayam sikit atau spaghetti sikit,” tulisnya.

Tambah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik melalui Pontianak Harum Sundal Malam itu, dia berpegang pada prinsip untuk tidak lagi berbuka puasa di mana-mana hotel yang menyediakan bufet.

“Siapa makan kat sana jangan meroyan pasal ekonomi,” tulisnya turut mendapat reaksi positif warganet dan pengikut di laman sosialnya.

Maya turut meletak tanda pagar, #foodwaste (pembaziran) dan #exploitation (eksploitasi) pada status itu.

Pelakon itu turut berkata dia sebenarnya kurang faham mengapa wujud segelintir umat Islam yang masih gagal mengamalkan kesederhanaan ketika berbuka puasa.

“Di mana nilai kesederhanaan? Saya tak faham,” katanya situasi harga melampau dikenakan pihak hotel sudah diketahuinya sejak beberapa tahun lalu.

“Cuma sekarang barulah saya berani memberi kenyataan ini. Saya sengaja buat carian di beberapa laman sesawan dan terkejut dengan apa yang diperoleh,” katanya.

Maya turut berpendapat, jangan disebabkan puasa seharian, seseorang individu itu berhak makan sebanyak-banyaknya pada satu-satu masa.

“Makan banyak nanti darah tinggi dan seterusnya muncullah macam-macam penyakit,” katanya.

Dalam entri berlainan, Maya berkongsi artikel mengenai isu pembaziran makanan ketika bulan Ramadan.

SGMS Faida