“Mereka Tak Tahu Apa Yang Berlaku” – Wani Kayrie Mohon Peminat Berhenti Kecam Gara-Gara…

Baru-baru ini, penyanyi Wani Kayrie telah dipilih untuk menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku pada Separuh Akhir Muzik-Muzik Ke-37 (SFMM37) bagi menggantikan Ernie Zakri dan Hafiz Suip.

Sejak itu, Wani mendedahkan sering menerima kecaman daripada netizen dan dia memohon agar mereka berhenti berbuat demikian.

Memetik laporan Kosmo, dia hanya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pihak pengurusan Rocket Fuel dan label Nova Music Sdn. Bhd.

“Saya diberitahu seminggu sebelum sidang media untuk jadi pengganti. Saya tidak berani tanya lebih-lebih kerana setiap orang ada privasi mereka.

“Saya baca semua komen dan tidak mahu terlalu memikirkan hal itu kerana orang luar tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya kasihan sebab komposer Ikhwan Fatanna pun kena serang. Bagi saya tidak elok netizen salahkan kami kerana keputusan itu dibuat pihak pengurusan dan label,” luahnya.

Susulan perkara itu, Wani tidak menafikan sedikit tertekan dengan jangkaan tinggi peminat terhadap persembahannya.

“Boleh kata tertekan dan sejak awal buat keputusan menggalas tanggungjawab ini saya tahu setiap risiko yang saya akan hadap.

“Beberapa hari ini saya baca semua komen yang diberikan demi mengambil tahu apa yang peminat Ernie dan Hafiz harapkan untuk lagu ini,” ujarnya.

Namun, Wani turut berharap dapat melakukan yang terbaik dalam menyampaikan lagu tersebut dengan cara tersendiri.

“Saya akan buat yang terbaik dan tidak akan cuba meniru cara Ernie atau nak jadi macam dia.

“Saya ada bertemu kak Ernie dan abang Ikhwan untuk tanya pendapat mereka dalam menyanyikan lagu berkenaan. Abang Ikhwan yakin saya boleh buat yang terbaik,” katanya.

Terdahulu, pihak pengurusan telah memaklumkan bahawa Ernie tidak akan menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku di pentas SFMM37.

Keputusan berdasarkan undian tersebut membuatkan ramai peminat Ernie dan Hafiz berasa kecewa kerana tidak dapat melihat persembahan mereka berdua.

Sumber: Kosmo

Maya Basir