Meriah Dengan Sorakan Peminat Wanita, Konsert Rizky Febian ‘Full House’!

Seperti yang dijangka, konsert penyanyi Indonesia Rizky Febian yang diadakan di ibu kota Kuala Lumpur menerima sambutan yang luar biasa daripada peminatnya, semalam.

‘Full-house’ menjadi definisi tepat untuk menggambarkan kemeriahan konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur tersebut, apabila ia dibanjiri dengan kehadiran 2,400 peminatnya.

Persis bertemu artis dari negara Korea, konsert sulung Rizky di sini juga tidak lekang dengan kemeriahan sorakan daripada peminatnya lebih-lebih lagi kaum wanita.

Bahkan menjelang konsert itu berlangsung, perkarangan Zepp Kuala Lumpur itu juga telah dipenuhi dengan ribuan peminatnya yang mula beratur dari awal pagi.

Konsert ‘intimate’ yang berdurasi sejam 30 minit itu juga menyaksikan Rizky tampil membawakan 16 buah lagunya yang sering menjadi siulan dalam kalangan peminatnya.

Antara lagu yang disampaikan dalam konsert tersebut ialah Penantian Berharga, Salah, Reuni, Hingga Tua Bersama, Berpisah Itu Mudah, Terlukis Indah dan banyak lagi.

Selain itu, konsert itu turut dihadiri oleh ahli keluarganya bagi memberi sokongan moral seperti ayahnya Sule, adik-beradiknya dan kekasihnya yang juga seorang penyanyi, Mahalini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Impian Saya Adalah Untuk Membawa Arwah Ibu…” – Persembahan Penuh Intimate, Rizky Febian Bikin Peminat Galau

Kredit Foto: Der Ahmad Sharu

Fatin Nurain