Michelle Yeoh Terima Ijazah Kehormat Dari Institut Filem Amerika!

Pelakon kebanggaan negara Tan Sri Michelle Yeoh, dinobatkan sebagai artis Asia pertama menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI), semalam.

Memetik laporan The Hollywood Reporter, pengiktirafan tersebut diberikan kepada Michelle atas sumbangan besarnya dalam industri perfileman selama 40 tahun.

Menurut agensi, anugerah tersebut sekaligus membuatkan pengarah filem Daniel Scheiner memuji keberanian aktres kelahiran Malaysia itu menerusi filem Everything Everywhere All at Once.

“Saya fikir kami memandang rendah betapa berisiko skrip filem ini untuk dirinya.

“Ketika berada di set penggambaran, kami melihat Michelle ‘daring’ kerana berani meletakkan jarinya ke mulut pelakon gandingan, Jamie Lee Curtis yang bukan calang-calang bintang.

“Jika anda belum menonton filem ini, semua itu terjadi dalam karya berkenaan. Kami sesama sendiri melihat ia sebagai suatu lakonan yang berani,” katanya.

Selain filem Everything Everywhere All at Once, Michelle juga sudah berlakon lebih 70 filem seperti Crouching Tiger, Hidden Dragon, Memoirs of a Geisha, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.

Sumber: Berita Harian & AGENSI

Fatin Nurain