Muat Naik Foto Bersama, Peminat Happy Tengok Kemesraan Fasha Sandha & Nora Danish

Pelakon versatil, Fasha Sandha dan Nora Danish mencuri perhatian peminat apabila hadir dalam sebuah acara yang berlangsung di kediaman bekas keluarga mentua mereka iaitu Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah baru-baru ini.

Menerusi beberapa hantaran foto yang dimuat naik Fasha di Instagram, acara tersebut berlangsung sempena menyambut kelahiran anak lelakinya, Putra Rayfal Ramli Rizal Ashram yang ke-10 hasil perkahwinan bersama bekas suami, Rizal Ashram atau Jejai.

“Terima kasih Atok, Tah dan Family,” tulisnya.

 

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat berasa gembira dan teruja melihat kelibat kedua-dua selebriti ini bersama dalam satu foto keluarga besar, bahkan menyifatkan Fasha dan Nora sangat profesional terutamanya terhadap kehidupan anak-anak mereka bersama keluarga bekas suami dan melupakan kontroversi yang pernah timbul sebelum ini.

“Alhamdulilah good vibes and tumpang Rasa bahagia tgk keluarga ni. Pernah berpisah, pernah bergaduh, tapi masa mengubah semua. Syukur alhamdulilah. Thanks for showing us that people can change and forgiven.

“Masya-Allah happynya tengok kak Fasha dan kak Nora satu frame macam nie.. Semoga keluarga ini kekal bahagia hingga ke syurga.

“Alamak nak nangis tengok Fasha dan Nora in one frame. Moga yang baik-baik datang lepas ni.

“Ya Allah, suka betul tengok Fasha dan Nora. Walaupun dah tak bersama dengan bekas suami tapi dapat bersatu sebagai satu keluarga.

“Alhamdulillah, ini yang ditunggu-tunggu selama ni. Hasil doa kita semua, saya dari dulu nak sangat tengok @fashasandha & Nora Danish bersama. Ambil yang jernih buang yang keruh, bila hati kita semua reda inilah hasilnya. Umur makin meningkat ini la patut kita lakukan. Buat yang di luar sana jangan gaduh-gaduh, benci-benci, buka aib sesama sendiri. Jadikan ini sebagai contoh terbaik,” komen netizen.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, suami Fasha yang juga pelakon, Aidil Aziz turut berterima kasih kepada Jejai dan keluarga atas sambutan hari lahir anak mereka dan memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke majlis itu disebabkan kekangan kerja.

Untuk rekod, Fasha dan Jejai mendirikan rumah tangga pada 27 April 2012 namun mengambil keputusan untuk berpisah pada 20 Januari 2016 dan hasil perkahwinan pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu, Putra Rayfal Ramli, 10, dan Putri Raysha Jemyma, 8.

Sementara, Nora Danish dan Jejai juga pernah mendirikan rumah tangga iaitu pada 20 Jun 2006 dan mengambil keputusan untuk berpisah pada 10 Julai 2008.

Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal Ramli yang kini berusia 14 tahun.

 

Salma Syahbuddin