Categories: Hiburan

Nabila Razali Selamat Bergelar Isteri Nik Iruwan

Penyanyi popular, Nabila Razali, 31, selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, 38, dengan sekali lafaz pada pukul 10.11 pagi tadi.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali selamat dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Fawwaz Zarin Che Lah dari Masjid Genting Highland di majlis pernikahan yang berlangsung di The Chateau Spa and Wellness Resort, Bukit Tinggi, Pahang.

Dalam majlis yang bertemakan English Garden ini, Nabila menerima mas kahwin bernilai RM22.50 dan wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah majlis pernikahan berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada tetamu dan ahli keluarga.

“Mereka turut menjayakan majlis ini dan tidak lupa kepada peminat di atas doa dan sokongan yang diberikan kepada saya dan suami,” kata Nabila kepada XTRA.

Majlis yang dikelolakan oleh Terusik Event ini telah berlangsung secara sederhana itu dihadiri kira-kira 250 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan juga selebriti.

Turut hadir tetamu VIP dan rakan-rakan niaga pengantin.

Antara selebriti yang hadir adalah seperti Hawa Rizwana, Amira Othman, Wany Hasrita, Ara Johari, Sissy Iman, Hael Husaini dan ramai lagi.

Pasangan itu bakal diraikan dalam satu majlis resepsi bertemakan ‘garden party formal’ yang berlangsung pada sebelah petang di tempat yang sama.

Padin