Nafi Buat Pembedahan Bariatrik, Heykal Hanifah Dedah Makan Telur 12 Biji Sehari Sejak 2019!

Pengarah terkenal Heykal Hanifah, tampil menafikan membuat pembedahan bariatrik semata-mata untuk kurus susulan susuk badannya yang semakin kurus yang menjadi persoalan dalam kalangan warganet.

Menurut Heykal, dia mengamalkan diet pemakanan termasuk memakan 10 hingga 12 biji telur sehari hingga mencapai berat sekarang 75 kilogram (kg) sejak Mei 2019.

“Potong usus? Tidak ada masa nak buat. Buang duit saja. Kalau boleh buat cara yang mampu iaitu dengan mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam, buat saja. Tapi kalau mampu dengan cara pembedahan, terpulang. Masing-masing punya selera dan pilihan,” kata Heykal.

Namun, pengarah itu turut mengatakan yang dia pernah mengalami gerd akibat mengamalkan diet yang teruk.

“Sepanjang diet hingga sekarang, teruk juga menu saya. Ada sampai tiga bulan makan telur saja setiap hari iaitu 10 hingga 12 biji sehari dengan pelbagai jenis masakan. Hinggakan saya terkena penyakit Gerd disebabkan diet teruk.

“Tapi sekarang alhamdulillah okay dah selepas jumpa doktor dan diberikan ubat. Doktor juga menyarankan menu yang boleh dimakan.

“Dalam masa sama, saya juga tak makan nasi dari 2019 sampai sekarang. Tak ada apa yang pelik pun. Alhamdulillah, berat sekarang dah 75kg,” katanya.

Selain itu, Heykal turut menyatakan keputusan untuk menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat itu kerana khuatir akan kesihatannya disaat anak-anak masih kecil.

Pengarah itu juga menjelaskan isterinya, Faezah Elai banyak membantu dalam menguruskan pemakanan sehariannya sehingga kini.

Sebelum ini, Heykal turut berkongsi dirinya sering mengalami masalah sakit pinggang dan kesukaran ketika menunaikan solat disebabkan masalah berat badan.

“Ketika berat masih lebih 100kg nak solat dan duduk antara dua sujud pun susah. Saya juga sakit pinggang sebab terlalu berat,” kongsinya.

 

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain