Naim Daniel Nafi Anti Golongan Agamawan, Perjelas Ciapan Tular Hanya Sekadar Luahan Perasaan

Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel menafikan ciapannya yang tular di platform X baru-baru ini sebagai anti agamawan.

Katanya memetik laporan Harian Metro, ciapan tersebut hanyalah sekadar bentuk luahan perasaannya sahaja, memandangkan terdapat segelintir pihak pada masa kini yang sewenang-wenangnya menggunakan agama untuk melindungi kejahilan diri sendiri.

“Situasi itu memberi perasaan kurang senang kepada pihak yang ikhlas dalam perbuatan mereka. Hari ini, kita selalu nampak mereka yang ada penampilan seperti itu sering dianggap betul, walaupun hakikatnya perbuatan mereka itu salah.

“Mengikut pendapat peribadi saya, tiga perkara yang paling cepat menarik perhatian orang adalah melalui agama, air mata dan harta. Jadi, apabila orang salah gunakan imej berjubah untuk mengaburi mata orang yang memandang dan menyangka apa yang dibuat adalah betul, saya rasakan perkara itu sangat tidak adil buat semua,” katanya.

Tambahnya, bukan semua khilaf boleh ditutup dengan berpenampilan suci, sekaligus berpendapat bahawa golongan celik agama perlu mempunyai keperibadian yang bersesuaian dengan imej.

“Bukan semua salah dan silap kita boleh ditutup dengan penampilan suci kita. Janganlah cemar imej murni itu dengan menjadi penunggang agam. Itu adalah tidak bagus sama sekali.

“Saya tidak pukul rata dengan menganggap semua yang berjubah sama SAJA sikap mereka. Masih ada lagi yang keperibadiannya selari dengan imej ditampilkan. Contohnya, Uztaz Don Daniyal yang saya fikir personalitinya menepati gaya pemakaiannya,” ulasnya.

Terdahulu, ciapan yang dimuat naik pelantun lagu Mainan ini mencetuskan persoalan ramai apabila menyifatkan berpakaian jubah amat mudah untuk ‘membutakan mata’ masyarakat zaman kini.

“Cara mudah untuk butakan mata orang kita; 1. Pakai jubah, 2. ikut nombor 1, 3. Ikut nombor 1 dan 2,” tulisnya ringkas.

ARTIKEL BERKAITAN:“Cara Mudah Nak Butakan Mata Orang Kita, Nombor 1. Pakai Jubah” – Naim Daniel

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin