Neelofa Henti Pengeluaran Produk Inai Serta Merta Selepas Dua Tahun Di Pasaran – “Mungkin Ini Jalan Terbaik Buat Kami”

Selebriti dan usahawan popular, Noor Neelofa mengumumkan bahawa perniagaan produk inai keluaran rangkaian perniagaanya akan dihentikan serta merta.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Neelofa berkongsi makluman tersebut dengan menyatakan rangkaian perniagaanya itu tidak akan lagi mengeluarkan sebarang produk inai di pasaran.

Dalam perkongsian sama, isteri kepada selebriti dan pendakwah, Haris Ismail atau PU Riz itu turut mengucapkan terima kasih kepada penjual dan pembeli.

“Kita akan buat clearance, kita akan habiskan stok.

“Tidak akan ada lagi Signature Brown innai di pasaran daripada NunHa. Semua kita akan keluarkan untuk buat ‘clearance’.

“Saya tahu ramai suka innai brown NunHa. Apapun, saya rasa cukup 2 tahun innai brown NunHa di pasaran dan terima kasih pada semua yang menjual dan membeli,” tulis Neelofa.

Menjengah ke profil IG perniagaan NunHa pula, sebuah makluman menerusi video juga turut dikongsikan berkaitan penjualan terakhir produk inai tersebut.

“Kita tidak akan lagi keluarkan innai daripada NunHa.

“Mungkin inilah peluang terakhir untuk dapatkan innai yang terakhir dan penutup segala penceritaan inai-inai yang akan dan pernah wujud.

“Mungkin ini jalan terbaik buat kami,” ujarnya.

Untuk info, produk inai keluaran syarikat perniagaan Neelofa itu mendapat sambutan hangat di pasaran sejak 2022.

Lebih menarik, produk inai tersebut terbukti menggunakan bahan kandungan halal dan telap air.

Khairil Khusyairi