Penyanyi Pelamin Anganku Musnah Bakal Bikin Comeback?

Setelah sekian lama menyepi dan tidak muncul dengan single atau album baru. penyanyi Azie akhirnya menyatakan hasrat untuk kembali mewarnai industri nyanyian.

Kali terakhir muncul dengan album Kau Tetap Dalam Anganku pada tahun 1996, Azie mahu membuat kemunculan semula. 

“ Bukan populariti lagi yang dicari cuma saya rindu dengan peminat yang pernah menyokong karier seni saya selama ini.

“ 20 tahun menyepi, saya akui rindu dengan peminat dan mahu aktif kembali,” katanya.

Azie ditemui ketika menjadi artis jemputan menerusi Showcase Muzik-Muzik 33 yang diadakan di IOI City Mall Putrajaya baru-baru ini memaklumkan dia tidak hilang dari ‘radar’ dan masih aktif membuat persembahan di Sarawak.

“ Sejak berkahwin, saya memang nekad untuk fokus kepada keluarga dan tidak pernah menyesal dengan keputusan ini.

“ Suami juga tak pernah halang untuk aktif menyanyi cuma ya, keluarga menjadi keutamaan saya,” katanya.

Azie berkahwin dengan Rudy Abdul Wahed dan dikurniakan yiga orang cahaya mata iaitu Nurul Izza Amani, 17, Muhammad Aiman Al-Hakim, 14, dan Adryeil, 8 tahun.

Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Azie memaklumkan dia bakal muncul dengan sebuah single terbaharu bertajuk Anganku Terhenti Di Sini ciptaan Rosli Ahmad dan Eddy Sulaiman.

“ Lagu itu akan dimuatkan dalam sebuah album kompilasi, 6 Artis Suara 90-an menggabungkannya bersama lima lagi artis 1990-an iaitu Azura Aziz, Haslinda dan ramai lagi,” katanya.

SGMS Faida