‘Projek Geng Subuh Macam Jumaat’ Tanda Solidariti, Alif Satar Terkejut Impak Sampai Ke Luar Negara!

Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar akui terkejut apabila Projek Geng Subuh Macam Jumaat mendapat sambutan yang baik bagi mengajak pengikut di media sosial untuk solat subuh berjemaah di masjid.

Menurut Alif, dia terdetik untuk mengajak orang ramai solat subuh berjemaah selepas seorang ustaz mengatakan cara memenangi perlawanan dengan Israel ialah dengan menguatkan benteng kerohanian menerusi solat subuh.

“Dalam kelas agama, ada seorang pelajar tanya ustaz, macam mana cara kita nak menang menentang Israel. Ustaz kata, solat subuhlah di masjid. Macam mana nak menang lawan Israel kalau mengantuk pun kita takut?

“Kata ustaz lagi, kita boleh berarak beribu-ribu orang, tapi kalau subuh tidak ramai, tiada apa-apa yang terjadi. Kata-kata itu begitu menginsafkan sebab saya sangat terkesan dengan isu yang terjadi di Palestin.

“Saya mulakan dengan diri sendiri dahulu. Saya tidak mahu hanya bercakap di media sosial tentang Palestin, tapi juga bersolidariti di masjid sesuai dengan pesan nabi untuk solat subuh di masjid berjemaah.

“Selepas saya melakukannya, kemudian barulah saya ajak ramai-ramai untuk solat subuh berjemaah sekali. Kata orang, contoh melalui teladan,” katanya.

Selain itu, pelantun lagu Cukup Indah ini turut menggunakan ‘hashtag’ Geng Subuh Macam Jumaat di Instagram bagi mengajak pengikutnya menyertai solat subuh di Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, Ahad lalu.

“Alhamdulillah, masjid nampak lebih muda sekarang. Ada yang sanggup tidur di masjid pada malam sebelum untuk subuh berjemaah bersama.

“Ada datang dari jauh semata-mata ingin solat di masjid kawasan rumah saya di Bukit Damansara. Ia membuatkan saya terfikir untuk pergi ke kawasan masjid sekitar Lembah Klang pula.

“Saya sangat terkejut impaknya sampai ada pengikut di Indonesia, Australia dan Turki turut ikut kempen ini. Pelajar universiti turut buat kempen subuh berjemaah di kampus masing-masing.

“Saya sangat bersyukur. Kempen ini bukan tentang saya, tapi tentang semangat anak muda yang turun berjemaah ke masjid,” ujarnya.

Sumber: Utusan

Maya Basir