Puteri Khareeza Sah Bergelar Isteri Ahli Perniagaan Selepas 4 Bulan Berkenalan

Pelakon dan penyanyi Puteri Khareeza selamat berkahwin dengan jejaka pilihannya yang juga ahli perniagaan, Mohd Shukor Kamaruddin,35, pada 24 Februari lalu.

Menurut Puteri Khareeza atau nama sebenarnya Puteri Aszfaryna Khareeza Arif,26, dia nekad untuk berkahwin dengan suaminya itu selepas empat bulan berkenalan.

Difahamkan, pelakon itu juga telah melangsungkan majlis resepsi yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

“Alhamdulillah majlis akad nikah berjalan dengan lancar dan mengikut seperti yang dirancang.

“Kami selamat diijabkabulkan kira-kira jam 5 petang semalam dan majlis resepsi diadakan pada sebelah malam di lokasi sama.

“Bagaimanapun majlis ini hanya dihadiri keluarga dan rakan-rakan terdekat saja,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Puteri telah menerima mas kahwin sebanyak RM1,704.98 yang juga simbolik tarikh ulang tahun kelahirannya serta tujuh dulang hantaran berbalas lima ketika majlis pernikahan berlangsung.

Dalam pada itu, pelakon drama Kerana Cinta Itu Ada itu juga sempat berkongsi perkenalan singkatnya bersama suaminya sejak Oktober lalu.

“Perkenalan kami agak lucu apabila Shukor ‘masuk’ dalam siaran langsung saya di TikTok. Kemudian kami berkenalan di ruangan mesej peribadi.

“Saya pernah berada pada fasa hubungan yang agak lama tapi tidak menjadi. Jadi apabila dipertemukan dengan insan yang matang dan bersedia untuk berkahwin, saya yakin inilah waktu terbaik.

“Kami tidak mengadakan majlis pertunangan pun, sebaliknya hanya majlis merisik untuk menentukan tarikh perkahwinan,” jelasnya.

Tambah Puteri, dia lebih selesa untuk tidak berkongsi kisah peribadi lebih-lebih lagi kisah cintanya bersama Shukor di media sosial.

“Bagi saya media sosial bukan platform untuk berkongsi perihal cinta. Saya lebih selesa kehidupan peribadi saya hanya diketahui orang terdekat saja.

“Kalau boleh saya memang nak adakan majlis pernikahan ini secara tertutup, tapi apabila dah jemput rakan-rakan dan saudara-mara saya tak boleh nak mengawalnya.

“Tapi saya okey saja untuk berkongsi status saya sekarang dan bersyukur majlis pernikahan berjalan dengan lancar,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain