Rabbani Bakal Adakan Konsert Rai 25 Tahun Perjalanan Dalam Industri

Kumpulan nasyid Rabbani yang terkenal dengan lagu-lagu dakwah dan masih kekal relevan sehingga kini akan menemui peminatnya di Konsert 25 Tahun Rabbani bertempat di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor.

Kelainan yang akan dibawa di dalam konsert kali ini kepada peminat adalah nyanyian sebanyak 25 buah lagu mengikut segmen simbolik 25 tahun Rabbani di dalam industri muzik tanah air.

Menurut pihak penganjur, konsert ini dapat membuatkan peminat-peminat  Rabbani lebih dekat dan lebih mengenali kumpulan nasyid itu serta memahami perjalanan susah senang Rabbani untuk kekal bertahan sehingga kini.

“Kita nak masukkan kisah 25 tahun Rabbani, so kita nak buat orang lebih dekat dengan Rabbani, tahu cerita Rabbani dan bagaimana kisah mereka dalam insdustri, susah sebenarnya selama 25 tahun itu.

“So kita dah pecahkan ke beberapa segmen, jadi 25 tahun itu sama lah dengan 25 lagu yang akan dinyanyikan pada malam itu.” katanya.

Ditanya oleh media, berkenaan pemilihan artis lain yang bakal ditampilkan pada konsert itu nanti, Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz memberitahu mereka dipilih kerana terlibat secara langsung dalam rakaman lagu-lagu Rabbani yang terus terkenal sehingga ke hari ini.

“Baik, tetapi mungkin saya boleh cerita sedikit sekali lalu dia punya flow dia.

“Kenapa kita jemput Hijjaz, Daqmie, Mawi, Dinie Juri dan juga Aeydan kerana kita jemput dari sudut performance Rabbani dalam industri ini, mereka-mereka terlibat secara langsung dalam rakaman, saya ambil yang top rakaman lah.” katanya.

Konsert ini juga adalah kolaborasi pertama antara Rabbani Empire Resources bersama Kerajaan Negeri Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ).

Konsert ini akan bermula pada jam 8.30 malam pada 30 Disember 2022 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di www.mytiket.asia bermula pada harga RM58, RM88, RM128 dan RM188 seawal 1 Dis 2022.

 

Halimey Zamal