Ramai Meremang Tonton Filem Pendek Misi AINAA, Hafiz Mahamad Bangga & Sebak… Pasang Impian Terbit Dokumentari Di Netflix

Usahawan dan pempengaruh, Hafiz Mahamad meluahkan rasa bangga apabila karya filem pendek arahannya berjudul Misi AINNA mendapat respons positif ramai.

Menurut Hafiz dan isterinya, Syafiqah Aina, mereka bersyukur mesej yang ingin disampaikan dalam filem pendek berdurasi lebih 20 minit itu dipuji warga maya.

“Jika tanya perasaan saya, bila tengok hasilnya ada perasaan bercampur baur, bangga dan sebak. Mereka nampak kami buat ini bukanlah satu perkara yang senang.

“Kami mana ada kemahiran mengarah dan tulis skrip, kami hanya jual produk kecantikan wajah saja. Kami buat supaya orang dapat tengok bahawa kami ada kemahiran.

“Daripada awal memang kami tiada apa-apa tapi kita boleh sampai ke tahap ini dan kami tiada pengalaman, ini pengalaman kami yang besar.

“Bila mesej itu sampai ke hati semua, itu yang kami mahukan,” ujar mereka kepada XTRA.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikat Pelakon-Pelakon Hebat Tanah Air, Hafiz Mahamad Sanggup Belanja Setengah Juta & Arah Sendiri Hasilkan Filem Pendek ‘Misi AINAA’

Tambah Hafiz lagi, ada juga yang bertanya padanya untuk membuka sebuah syarikat produksi sendiri, ini jawapan yang diberikan oleh pengasas produk penjagaan kulit wajah itu.

“Ada yang bertanya tak mahu buka syarikat produksi sendiri ke? Saya rasa kalau saya buat ia akan jadi duit, ada keuntungan di situ bila jual cerita dan filem.

“Tapi saya pelik sikit sebab saya tak boleh buat sesuatu perkara yang boleh kembalikan dengan wang sebab skrip dan arahan itu ia datang dari jiwa. Bila ia bercampur dengan duit, ia buat saya pening.

“Macam filem pendek ini tiada pulangan wang pun walaupun saya berhabis RM500,000. Saya hanya mahu tunjuk kepada audiens yang kami ada kebolehan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz turut memaklukan dia memasang impian untuk menerbitkan sebuah karya dokumentari di platform penstriman, Netflix suatu hari nanti.

“Apa yang kita buat ini bukan mahu pulangan wang tetapi mahu realisasikan impian pekerja saya.

“Mungkin ada peluang selepas ini kerana naskah ini juga dianggap sebagai profil syarikat kami, mungkin ada kepercayaan daripada pihak FINAS atau badan-badan profesional.

“Impian saya adalah sekurang-kurangnya ada satu karya yang saya hasilkan untuk di platform penstriman Netflix seperti dokumentari.

“Saya teringin sangat nak ada satu karya di Netflix. Insya-Allah ada peluang selepas ini,” tutupnya.

Untuk info, Hafiz Mahamad merancang 100 peratus jalan cerita dan skrip filem aksi pendek ini adalah simbolik kepada mesej yang ingin disampaikan kisah benar liku-liku perjalanan perniagaan bersama isterinya, Aina.

Misi AINAA dibarisi pelakon ternama seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani, Hasnul Rahmat, Hushairi Husain, Elfira Loy dan penampilan istimewa artis seni bela diri yang didatangkan khas daripada negara jiran, Yayan Ruhiyan.

Khairil Khusyairi