‘Sabar, Faham Situasi Kami Sekarang’- Fizo Omar Reda Diuji Masalah Rumah Tangga

Selepas berdepan dengan isu keretakan rumah tangga, pelakon dan usahawan Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim minggu lalu, Fizo berkongsi entri panjang lebar di akaun media sosialnya, hari ini.

“Doakan yang terbaik untuk kami. Sebelum tu saya ingin memohon maaf kepada semua rakan media, kawan-kawan dan juga peminat yang prihatin dan bertanya khabar tentang cabaran dihadapi dalam rumah tangga saya dan Mawar.

“Buat masa ini, saya tidak dapat nak menjawab segala persoalan rakan-rakan mahupun media yang bertalu-talu. Tidak dinafikan rumah tangga saya menghadapi sedikit cabaran seperti mana diketahui semua.

“Saya amat berharap terutama pihak media dan netizen dapat bersabar dan memahami situasi kami,” tulisnya.

Katanya, sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga pasti mempunyai impian untuk hidup bahagia dan mempertahankan rumah tangga hingga ke Jannah.

“Tapi bila sampai waktunya kita dipilih oleh Allah untuk diuji bermaksud kita mampu untuk menghadapinya dan percaya mlah Allah tidak pernah zalim kepada hambaNYA.

“Mungkin setiap kejadian berlaku nampak buruk di mata manusia, tetapi tidak di sisi Allah, setiap yang berlaku mesti datangnya bersama hikmah dan hikmah bergantung kepada kita yang menerimanya.

“Sekiranya kita memandang ke arah positif maka hasilnya adalah positif, dan sebaliknya,” tulisnya.

Fizo turut memberi bayangan walau apa pun berlaku hubungannya dengan model dan usahawan hijab itu akan terus baik demi membesarkan dan mendidik anak mereja, Wan Maryam.

Katanya, Mawar tetap ibu kepada Wan Maryam walau apa pun yang berlaku selain mendoakan semoga Allah memberkati Mawar malah dia juga sentiasa doakan yang terbaik untuk semua.

“Apa pun keputusan mahkamah nanti saya terima dan saya memohon maaf dan juga memaafkan smua pihak. Doa yang baik-baik daripada semua pihak, diharap dapat menemui jalan terbaik antara saya dan Mawar.

“Takkan berlaku sesuatu perkara tanpa izin Allah dan sekiranya berlaku, itu adalah takdir Allah, saya percaya perancangan Allah adalah terbaik untuk kita sebagai hambaNYA.

“Saya amat berharap, semua pihak memberi ruang kepada kami untuk menyelesaikan isu ini sebaik mungkin,” tulisnya.

Fizo turut berterima kasih kepada semua yang memberikan semangat, doa yang baik-baik malah dia juga sudah memaafkan segala komen mahupun fitnah dilemparkan warganet ke atasnya sebelum ini.

Doakan yang terbaik buat pasangan ini ya!

SGMS Enal