Samsons Cipta Kenangan Terindah Buat Peminat Di Malaysia

Konsert Samsons 20th Anniversarry yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur semalam, pastinya menjadi sebuah konsert yang tak akan dilupakan oleh peminat kumpulan penyanyi dari negara seberang itu.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu Kenangan Terindah ini meluahkan rasa teruja bertemu peminat di Malaysia dan memberikan persembahan yang bertenaga.

Konsert ini bertujuan untuk meraikan ulang tahun mereka yang ke-20 dan juga untuk memperkenalkan vokalis baharu mereka.

Antara lagu yang dinyanyikan ketika konsert berlangsung ialah Kisah Tak Sempurna, Akhir Rasa Ini, Kehadiranmu, Rayu, Rasa Yang Salah, Naluri Lelaki, Bukan Diriku dan yang paling dinanti-nantikan, Kenangan Terindah.

Vokalis baharu kumpulan tersebut, Adrian Martadinata juga sempat menyanyikan lagu hasil ciptaannya sendiri iaitu Ajari Aku nyanyian Anuar Zain.

Apa yang lebih membuatkan peminat lebih teruja adalah apabila Adrian tiba-tiba muncul di bahagian penonton untuk bersama-sama menyanyikan lagu Bukan Diriku dan Kenangan terindah.

Pada asalnya, Adrian hanya meminta peminat sahaja untuk menyanyikan lagu Kenangan Terindah tetapi setelah usai nyanyian tersebut, gitaris Samsons, Irfan Aulia, bercadang untuk menghadiahkan lagu popular mereka itu khas untuk peminat yang hadir.

“Mari kita buat kenangan terindah untuk kita semua malam ini,” katanya di atas pentas.

Konsert yang berlangsung selama dua jam ini berjaya mendapat tempat di hati peminat Malaysia kerana kehebatan dalam susun atur muzik, sistem bunyi yang sangat berkualiti dan lebih memukau mata peminat adalah penataan cahaya yang menyerlahkan lagi persembahan kumpulan tersebut.

Konsert tersebut juga dihoskan oleh penyampai radio dan penyanyi, Dina Nadzir.

Izzi Farhana