“Saya Telah Dianiaya” – Didakwa Terlepas Hukuman Penjara Sebab Bawa Watak Anwar Ibrahim, Ini Respons Farid Kamil

Pelakon dan pengarah, Farid Kamil menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan keputusan dibebaskan daripada hukuman penjara minggu lalu dengan watak lakonannya menerusi filem Anwar Ibrahim.

Memetik laporan Gempak, Farid memberitahu perkara tersebut tiada kaitan antara satu sama lain kerana keputusan terlepas hukuman penjara adalah daripada pihak Mahkamah sepenuhnya.

Malah, penggambaran filem tersebut sudah dijalankan lebih awal sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru.

“Nama Anwar Ibrahim menjadi subjek yang popular sejak kebelakangan ini, ia telah dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia. Tetapi saya melakukan filem Anwar Ibrahim adalah sebelum beliau dilantik menjadi PM lagi.

“Saya memanjatkan kesyukuran dengan keputusan mahkamah dan ingin saya jelaskan keputusan tersebut tiada kaitan dengan Anwar Ibrahim,” katanya.

Menurutnya, sebelum netizen membuat andaian, mereka seharusnya membaca dahulu keputusan penuh kehakiman tersebut.

“Untuk netizen, anda seharusnya baca keputusan penuh kehakiman yang dikeluarkan oleh tiga orang panel hakim yang telah mengeluarkan kenyataan bertulis menyatakan bahawa tuduhan kepada saya adalah tidak konsisten.

“Berdasarkan keputusan tersebut, ternyata saya telah dianiaya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pengarah filem Remp-It 2 ini terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan mengenakan hukuman denda RM5,000 kerana menggunakan dadah, empat tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Farid, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2019.

Maya Basir