Categories: SelebritiTrending

Sentuh Soal Reda, Amer BinYusoff Tampil Dengan ‘CintaMu’ Sebagai Penawar Jiwa

Bekas anggota Ruffedge, Amer Munawer Yusoff membuka ruang untuk lebih mengenali diri dengan karya bergenre kerohanian dan ketuhanan sejak 13 tahun lalu.

Terbaru, Amer yang kini mahu dikenali sebagai Amer BinYusoff tampil dengan single yang berjudul CintaMu yang telah dilancarkan pada 23 Jun lalu.

Lebih menarik, CintaMu yang bernuasa pop R&B itu juga menampilkan Rahim InTeam dan Syed Yassin yang merupakan seorang penyanyi qasidah Brunei.

CintaMu merupakan ciptaan penuh dengan susunan muzik oleh Zaha Aziz yang juga penerbit single ini dan dilancarkan di bawah label Blackstone Productions.

Kongsi Amer, CintaMu mengisahkan tentang perjalanannya yang bertitik tolak daripada kesedaran yang dibibitkan oleh penyampaian agamawan yang dikaguminya, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid, lebih sedekad lalu.

“Diinspirasi daripada perkongsian Habib Ali, lahirlah CintaMu yang menyentuh tentang soal reda lewat zikir yang menenangkan. Masih dengan genre pop R&B yang menjadi kecenderungan muzik saya, hanya liriknya bertema kerohanian yang boleh disimpulkan sebagai prinsip hidup saya kini dengan kefahaman hidup ini perlu satu saja, iaitu Reda,” katanya.

Amer BinYusoff ditemui di Sidang Media Majlis Pelancaran Single CintaMu yang berlangsung di Hai! Jeju Bakery Café, Encorp Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Susulan itu, Amer berharap CintaMu ini dapat membawa pendengar memahami makna reda yang disempurnakan bersama kerinduan terhadap Rasulullah sekaligus menjadi penawar jiwa untuk pendengar.

Oleh itu, CintaMu ini turut dirakam dalam dua versi termasuk akustik dan boleh didengari di semua platform digital.

Atiqah Johari