#SFMM33: Akhirnya Kesedihan Saya Terbayar – Sufian Suhaimi

Kejayaan lagu Di Matamu yang layak ke pentas Anugerah Juara Lagu ternyata membawa kegembiraan kepada pelantunnya, Sufian Suhaimi.

Sufian ketika ditemui selepas pentas separuh akhir Muzik Muzik 33 memberitahu dia amat bersyukur selepas lagu tersebut diumumkan.

“ Lagu itu diterima baik selepas kejadian yang telah berlaku dalam kehidupan saya sebelum ini. Alhamdulillah…akhirnya kesedihan tersebut terbayar dan saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” katanya.

Tambah Sufian, dia tidak menolak populariti lagu Di Matamu naik mendadak selepas pertunangannya dengan pelakon Elfira Loy putus pada awal tahun lalu.

“ Lirik Di Matamu merupakan nukilan yang benar-benar terjadi dan saya sampaikan karya ini dengan penuh perasaan. Ia benar-benar sampai ke hati pendengar kerana lagu ni ada kaitan dengan realiti sebenar saya,” katanya.

Di Matamu merupakan ciptaan komposer Sirkhan dan Rinkarnaen, manakala lirik ditulis oleh Sufian.

Agaknya apa kejutan yang bakal Sufian tampilkan pada Anugerah Juara Lagu 33 nanti ya? Sama-sama kita tunggu persembahan Sufian pada 3 Februari depan di TV3.

SGMS Faida