Lincah Di Atas Pentas Walaupun Sedang Hamil, Shila Amzah Akui Kehamilan Kali Ini Sangat Aktif… Jangka Bakal Bersalin Lepas Raya

Penyanyi Shila Amzah mengakui sudah terbiasa beraksi lincah di atas pentas biarpun kini sedang berbadan dua apabila membuat persembahan pembukaan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) di Axiata Arena, Ahad lalu.

Bercakap kepada XTRA, Shila bersyukur tiada sebarang kejadian yang tak diingini terjadi ketika membuat persembahan di pentas berprestij itu.

“Saya kadang-kadang bila di atas pentas saya terlupa yang saya mengandung.

“Tapi bila dengar muzik saya cuba untuk perlahankan rentak saya tapi perkara ini macam dah terbiasa, tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Tak ada kejadian yang tak diingini berlaku, itu yang paling penting sekali,” katanya ketika ditemui usai membuat persembahan.

Dalam pada itu, isteri kepada pempengaruh, Ubai MZ itu turut meminta peminat agar tidak risau dengan keadaanya malah pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut bersyukur suaminya itu sentiasa bersama.

“Dah beberapa minggu peminat mula risau dengan keadaan saya, sebab beberapa minggu ini saya banyak keluar di kaca televisyen.

“Alhamdulillah, saya sangat tahu dengan badan saya sekarang, saya sangat-sangat aktif dan saya dah di trimester yang selamat, Insya-Allah.

“Disebabkan itulah saya bekerja tanpa henti, saya suka bekerja, kalau di rumah, saya alami mual dan segala benda akan jadi macam ibu mengandung.

“Jangan risau, terima kasih doakan yang baik-baik, suami saya juga sentiasa berada di samping saya pastikan segalanya lancar,” ujarnya.

Ditanya adakah akan bekerja sehingga ke penghujung usia kandungan, Shila mengiyakan perkara itu biarpun ia satu risiko buat dirinya.

“Setakat ini saya memang akan bekerja mungkin sehingga hujung jugalah.

“Ia satu risiko, tetapi saya merasai pengalaman kali ini sangat berbeza berbanding kehamilan pertama, kali ini saya sangat aktif,” katanya lagi.

Tambah Shila, dia dan suami sudah mengetahui jantina cahaya mata sulung mereka yang dijangka bakal lahir selepas Hari Raya Aidilfitri itu.

“Jantina dah ada, tetapi seperti sedia maklum kadang-kadang ia mungkin nampak jantina itu tetapi yang keluarnya jantina lain.

“Yang penting bayi itu sihat, itu saja yang kami minta. Jangkanya selepas raya,” tutupnya.

Khairil Khusyairi