Sold Out! Bakal Gegar KL 6 Januari 2023, Tiket Konsert Tulus Habis Terjual Tak Sampai 1 Jam

Penyanyi Indonesia Tulus telah mengumumkan dirinya bakal mengadakan konsert di Malaysia, pada 6 Januari 2023, tahun hadapan.

Bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, konsert yang dinamakan Fabulous Friday Presents Tulus itu sekali gus meraih rasa teruja dalam kalangan peminatnya di sini.

Menurut Shiraz selaku penganjur, dia yakin bahawa konsert Tulus kali ini mampu mengubati kerinduan peminat tanah air menerusi karya-karya yang berkualiti dari penyanyi itu.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami membawakan semula Tulus ke Kuala Lumpur. Kita sedia maklum bahawa Tulus akan muncul dengan lagu-lagu berkualitinya yang akan dibawakan bersama bandnya yang cukup kompak.

“Kehadiran Tulus, saya percaya bukan sahaja akan melunaskan kerinduan para peminat tegarnya tetapi juga kita dapat belajar tentang produksi dan karya yang baik dari rakan seni seberang.

“Saya percaya bahawa hal-hal seperti ini wajar kita kongsi dan bawakan untuk dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi pengalaman,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, Tulus juga sempat meluahkan rasa terujanya untuk bertemu para peminat dengan mempersembahkan lagu-lagu dari album Manusia buat kali pertama.

“Lama betul tidak bertemu dengan para peminat di Kuala Lumpur. Semoga rindu ini menghilang ketika kita bertemu di Dewan Plenari kelak. Kita bakal menyanyi bersama-sama,” ujarnya.

Untuk makluman, tiket konsert Fabulous Friday Presents Tulus itu telah mula dijual pada jam 2 petang, semalam.

Menariknya, tiket konsert pelantun lagu Hati-Hati Di Jalan itu telah habis terjual dalam masa satu jam selepas penjualan bermula.

Fatin Nurain