Tak Jalankan Tanggungjawab, Diana Danielle Fail Nusyuz Terhadap Farid Kamil

Pelakon jelita, Diana Danielle telah memfailkan nusyuz terhadap suaminya, aktor sensasi Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari sebentar tadi.

Peguam syarie mewakili pihak Diana iaitu peguam Azmi Mohd Rais mendedahkan tuntutan tersebut dibuat kerana Farid difahamkan tidak menjalankan tanggungjawab rumah tangganya bersama Diana.

“Pihak kami baru memfailkan nusyuz terhadap Farid atas alasan tidak menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangga,” ujarnya.

Sementara itu, Diana berkata proses memfailkan nusyuz ini adalah perkara biasa yang boleh dilakukan oleh kedua-kedua pihak.

“Ini masih peringkat awal. Ia adalah proses biasa. Semua pihak ada hak untuk memfaikan tuntutan,” tuturnya.

Terdahulu, Farid turut memfailkan nusyuz terhadap Diana dan Hakim Syarie Shukran Yusof telah menetapkan 23 Ogos untuk tarikh sebutan semula kes nusyuz tersebut.

Sebelum ini, kedua-dua pasangan ini telahpun menjalankan perbicaraan bersama JKP namun menemui jalan buntu setelah berlaku syiqaq (perbalahan) berpanjangan.

Farid bagaimanapun enggan melafazkan talak kerana mempercayai rumah tangganya masih boleh diselamatkan.

Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai terhadap Farid.

Sekadar info, Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8.

Sumber: Kosmo

Aqilah Paharuzi