Terpaling Juara: Ifa Raziah Tersingkir, Hazami Bangkit Rangkul RM5,000… Ini Recap Konsert Keempat!

Konsert keempat Terpaling Juara yang diacarakan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir berlangsung dengan meriah malam tadi di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Bersiaran secara langsung di TV3, Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang merupakan penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik yang berbakat besar serta pemilik trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) di anugerah paling berprestij.

Menerusi program yang menampilkan Datuk Hattan dan Fauziah Latiff selaku juri tetap ini, tiga kapten akan membimbing seorang penyanyi senior dan seorang bintang baharu untuk menjayakan persembahan mingguan yang bertemakan #PlaylistAJL.

Minggu keempat Terpaling Juara semakin hangat antara enam peserta selepas masing-masing sudah mula menunjuk ‘taring’ dalam persembahan mereka.

Pihak juri turut berpuas hati dengan semua persembahan yang ditunjukkan oleh mereka yang mendapat reaksi positif berbanding minggu lalu.

Minggu Keempat:

Shaz – Canggung (SFMM 35, nyanyian asal Wany Hasrita

Hazami – Potret (AJL 30, nyanyian asal Akim & The Majistret

Aqmal – Sumpah (AJL 34, nyanyian asal Naim Daniel

Rahmad Mega – Jampi (AJL 32, nyanyian asal Hael Husaini

Ifa Raziah – Purnama (AJL 36, nyanyian asal Naim Daniel

Aqeesh – Rampas (AJL 34, nyanyian asal Akim & The Majistret

Pembukaan konsert minggu keempat Terpaling Juara turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada Juara Anugerah Juara Lagu 3 oleh penyanyi Ramlah Ram dengan lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu.

Turut menyerikan lagi konsert minggu keempat Terpaling Juara juga menampilkan persembahan #TerpalingLagenda daripada Juara Anugerah Juara Lagu 7 oleh penyanyi Datuk Nash dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu.

Persembahan terbaik minggu keempat Terpaling Juara ini menyaksikan persembahan mantap Hazami yang menyampaikan lagu Potret menjadi pilihan juri dan penonton.

Pemenang ditentukan dengan 70 peratus markah juri tetap dan 30 peratus markah undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

Diumumkan sebagai Persembahan Terbaik, Hazami yang merupakan anak didik Akim Ahmad berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

Konsert minggu keempat telah bermula penyingkiran dan peserta pertama tersingkir ialah Ifa Raziah yang membawa lagu Purnama.

Tema minggu hadapan juga telah ditetapkan iaitu bertemakan ‘Vice Versa’ di mana peserta perlu menyanyikan lagu-lagu luar daripada genre mereka.

Bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, jangan lupa saksikan Terpaling Juara setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Terpaling Juara juga dapat disaksikan dengan strim langsung secara definisi tinggi di laman portal video www.tonton.com.my

Gunakan tanda pagar #TerpalingJuara dan #PlaylistAJL untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.

Aqilah Paharuzi