Vanessa Reynauld Cabar Kualiti Vokal Dalam Lagu ‘IGAU’, Hasil Sentuhan Naqiu

Setelah berjaya merangkul tempat ke-4 dalam program realiti antarabangsa ‘Sing! China 2023’ di Shanghai, nama penyanyi BBNU Vanessa Reynauld, 23, semakin hangat menjadi buah mulut ramai.

Kini, Vanessa tampil dengan single terbarunya yang berjudul IGAU, hasil sentuhan penyanyi dan pengubah lagu terkenal, Naqiu.

Vanessa yang pernah melancarkan lagu duet bersama Naqiu berjudul Rindu Separuh Nyawa meluahkan rasa teruja apabila menerima sebuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh bintang yang amat berbakat itu.

“Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila dapat tahu lagu ini diciptakan khas untuk saya.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Naqiu, kami berduet menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa yang dijadikan sebagai runut bunyi rasmi untuk drama tempatan.

“Semenjak itu, Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang ‘power vocal’ dan menonjolkan lagi kebolehan vokal saya sehinggalah dia membuat keputusan untuk ciptakan lagu IGAU.

“Saya amat menyukai karya IGAU ini kerana Naqiu benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya,” katanya.

Menurut Vanessa, lagu IGAU mengetengahkan konsep genre balada rock serta mengakui terdapat cabaran dari segi vokal ketika merakam lagu ini.

“Saya sangat teruja dengan konsep kali ini, kerana ia menekankan elemen lagu cinta dan jiwang.

“Lagu ini mempunyai cabaran dalam menyampaikan vokal kerana ia mempunyai perbezaan berbanding lagunya sebelum ini,” ujarnya lagi.

IGAU mengisahkan tentang seorang wanita yang mendambakan seseorang kekasih atau pasangan yang mampu memberikan kasih sayang dan kebahagian buat selamanya.

Selain cabaran dari segi vokal, Vanessa mendedahkan dia juga menghadapi kesulitan ketika menghayati lagu IGAU gara-gara tidak pernah bercinta.

“Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka kerana ia mengisahkan tentang seseorang yang memimpikan kekasih yang boleh dijadikan pasangan hidup yang melengkapi antara satu sama yang lain.

“Saya sendiri sebelum ini pun tidak pernah mempunyai pasangan bercinta dan Naqiu pun tahu perkara ini,” katanya.

Lagu IGAU boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Aqilah Paharuzi