Categories: HiburanTrending

[VIDEO] Khai Bahar Perjelas Klip Tutup Telinga Tular, Tetap Kotakan Janji Buat Persembahan Selepas 3 Hari Ibu Meninggal Dunia

Penyanyi Khai Bahar memberi penjelasan mengenai video tular memaparkan dirinya menutup telinga ketika proses pengebumian ibunya, Rosnah Mohd yang meninggal dunia pada Selasa lepas.

Menepis dakwaan diserang ‘anxiety’, Khai cuba menenangkan diri ketika selesai proses memandikan jenazah ibu.

“Video itu selepas mak saya baru dimandikan dan dikafankan. Masa itu saya rasa sedih sangat sebab itulah kali terakhir dapat cium dan menatap wajah mak sebelum perjalanan akhirnya.

“Ketika itu saya cuba tenangkan diri sendiri. Saya tak boleh tengok sesiapa waktu itu,” katanya kepada XTRA.

Khai ditemui di Ungku Omar Festival 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sebentar tadi.

Tetap hadir untuk menjayakan persembahan, Khai memberikan komitmen kerana teringat pesan arwah ibunya.

“Saya datang malam ini kerana mahu berikan komitmen terhadap kerjaya. Saya juga ingat pesan mak. Ketika arwah masih hidup dia selalu berpesan untuk saya memberikan sepenuh fokus terhadap kerja dalam apa jua keadaan.

“Kalau ikutkan hati memang saya nak batalkan tetapi dua persembahan malam ini sudah dipersetujui lebih awal.

“Selepas selesai persembahan di UKM, saya akan menjadi penyanyi undangan di sebuah konsert Mega Zikir Terapi 4 Palestine di Istana Budaya.

“Selesai sahaja dua komitmen kerja malam ini, saya akan kembali pulang ke Perlis untuk berada di samping keluarga,” katanya.

Ibu Khai, Rosnah Mohd meninggal dunia dalam tidur pada usia 62 tahun di Kangar, Perlis pukul 10.40 malam pada 2 Januari lalu.

Padin