[VIDEO] Saharul Ridzwan Nak Jual Kereta Mercedes, Anggap Ia Satu Bebanan… Peminat Pula Puji Sentiasa Matang & Rendah Diri

Aktor dan usahawan, Saharul Ridzwan mengambil keputusan menjual kereta mewah jenama Mercedes Benz miliknya selepas lebih lima tahun membelinya.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Saharul menceritakan sebab-sebab dia mahu menjual kereta mewah tersebut.

“Tahun 2021 memang saya dah nak jual dengan harga RM145,000 sebabnya kereta ini saya tak pakai sejak saya beli pada tahun 2018.

“Jadi kereta ini memang tak bergerak ke mana-mana, kalau bergerak pun ketika saya shooting, jadi mileage pun bergerak lah juga.

“Ibu saya pun suruh saya jual daripada berselimut saja,” kongsinya.

Kongsi Saharul lagi, dia termakan dengan kata-kata rakannya untuk membeli kereta mewah tersebut di saat baru sahaja memulakan perniagaan pada 2018.

“Setiap bulan saya bayar RM1,900 dekat RM2,000 jugalah.

“Pada 2018 saya juga baru mula berniaga, kawan saya ada kata ‘kau kena pakai kereta Mercedes ini, ia lambang kredibiliti kepada orang berniaga’.

“Waktu itu saya masih berlakon, pada awalnya kita rasa gah tapi akhirnya rasa bebanan. Hutang bank saya ada RM84,000.

“Kereta ini InsyaAllah tak pernah lebih mileage, enjin pun tak pernah buka,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi menganggap ia sebagai pengajaran dalam hidupnya agar bersederhana dalam apa jua perkara.

“Pengajaran daripada ini, saya tahu di luar sana masih ramai orang yang mampu tapi kalau seandainya kita kurang berkemampuan terhadap sesuatu perkara semata-mata nak nampak gah atau perhatian orang, elakkan.

“Ia akan jadi bebanan buat kita.

“Harga RM145,000 saya bayar untuk parking, jadi sayanglah,” ujarnya lagi.

Saharul juga berharap ada individu yang mahu membeli kereta tersebut dengan harga RM85,000.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata memberikan pelbagai reaksi terhadap perkongsian Saharul itu.

Rata-ratanya memuji tindakan Saharul untuk melepaskan kereta tersebut malah ada juga menyifatkan Saharul seorang yang matang dan rendah diri dalam setiap perkara.

Khairil Khusyairi