[VIDEO] “Saya Pernah Dicemuh & Digelar Isteri Banduan…” – Dr Wan Azizah Kongsi Momen Perjuangan, Sering Terdetik Untuk Berhenti Dalam Politik

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menceritakan antara detik-detik yang diharungi dalam politik.

Antara momen yang dijadikan pengiktirafan wanita adalah ketika menggalas tanggungjawab sebagai TPM pada 2018.

“Saya sebagai TPM adalah untuk menolong dan banyak juga saya menjadi koordinasi tentang apa-apa yang berlaku di tanah air dan agensi-agensi dalam negara kita membuat satu corak pentadbiran yang boleh kami gabungkan.

“Itu saya rasa tugas saya. Kalau dalam bidang politik saya kurang mahir,” katanya.

Disamping itu, isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini juga mengakui ada kalanya pernah terfikir untuk berhenti dek terlalu penat dicemuh namun semangatnya membina kekuatan diri untuk terus bangkit.

“Sejujurnya saya penat dan letih sebab nampak macam tiada penghujungnya. Kadang kala bila saya dah nampak akan berjaya, tapi akhirnya berlaku ujian pengkhianatan membuatkan saya kembali kepada asal.

“Saya banyak kali dipandang rendah atas sebab isteri banduan ataupun dicemuh setiap kali saya pergi kempen, berpaling muka dan sebagainya.

“Tapi saya fikir mereka tak kenal saya mungkin. Tak kenal maka tak cinta kan saya terima saja. Cuma yang membuatkan saya kuat sehingga kini adalah kerana saya mahu reda Allah SWT.

“Sejujurnya saya terfikir banyak kali untuk berhenti. Saya masih ingat kali kedua Anwar kami hanya diberi setengah jam saja dan terus jatuh hukum. Memang saya sedih sebab ingat dia akan samnbung perjuangan politik kami.

“Tapi apabila difikirkan balik insyaaAllah, saya boleh. Kalau tidak Allah takkan uji saya jika saya tak mampu. Tukarkan mindset bagaimana kita melihat masalah yang kita hadapi. Minta pertolongan pada allah, jangan pada mahluk,” jelasnya lagi.

Ibu kepada lima anak ini difahamkan sepanjang 42 tahun mendirikan rumah tangga beliau jarang mengambil peduli tugas-tugas politik suaminya kecuali jika perlu.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika ditemubual secara eklusif dalam program Nona TV3 yang juga diangkat sebagai Nona Superwoman 2022.

Sumber: Nona TV3

Aqilah Paharuzi