Zarith Sofia Bela Anak Beruang Matahari, Didenda RM27,000

Bekas peserta program realiti ‘Rockanova’, Zarith Sofia, dijatuhi hukuman denda RM27,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, setelah didapati bersalah menyimpan dan mengurung seekor anak beruang matahari di kondominiumnya. 

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Manirah Mohd Nor terhadap Zarith Sofia selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula. 

Mengikut pertuduhan pertama, pemilik nama penuh Zarith Sofia Mohd Yasin (28) itu didakwa menyimpan seekor beruang matahari (Helarctos Malayanus) tidak matang iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan itu. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengurung anak beruang matahari itu di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar berkenaan  di bawah Seksyen 86(1)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 86(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM7,000.

Dia ditahan dan dituduh melakukan kesalahan itu di kediamannya di Sentrio Pandan, Jalan 3/76D, Desa Pandan, Kuala Lumpur setelah Perhilitan menerima maklumat awam dan membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya, jam 8 malam pada 6 Jun tahun lalu.  

Sumber: BH Online & Instagram @beritaharian

 

Del14