Categories: Hiburan

Zizan Razak Puji Tindakan Kaka Azraff, Percaya Setiap Orang Ada Cara Tersendiri Tunjuk Solidariti

Pelakon dan pelawak Zizan Razak memuji tindakan penyanyi Kaka Azraff yang berani mempertahankan nasib yang berlaku di antara Palestin dan Israel.

Menurut Zizan, dia percaya bahawa setiap orang mempunyai strategi tersendiri dalam menunjukkan solidariti namun perlu memikirkan akan risikonya terlebih dahulu.

“Pada saya strategi itu terletak pada tangan kita, kalau kita nak berjuang sesuatu itu dalam rumah orang lain yang bukan hak milik sendiri, kita harus berjaga-jaga.

“Kena fikir sama ada perlu lantang bersuara atau tidak, jangan sampai merosakkan kerjaya kita.

“Allah tahu niat baik kita, Allah tahu kepada siapa yang kita mahu tujukan. Bagaimanapun saya memuji tindakan Kaka yang lantang bersuara,” kata Zizan ketika ditemui XTRA.

Mengulas lanjut isu tersebut, Zizan yang pernah bekerjasama dengan Kaka menerusi lagu Bawaku Pergi lebih selasa untuk tidak pertontonkan semangat solidaritinya kepada umum.

“Saya pun berjihad tapi saya tidak uar-uarkan kepada umum. Saya dah jalankan tanggungjawab saya, bagi saya itu sudah cukup.

“Bila mendengar cerita pasal Kaka saya rasa kesian pada dia, tapi rezeki milik Allah, kalau Kaka rasa itu terbaik untuk dia, terpulanglah,” jelasnya.

Susulan isu tersebut, pihak Warner Music mengumumkan bahawa kontrak penyanyi itu telah dibatalkan, pada hari ini.

Terdahulu, Kaka telah dikecam oleh netizen Israel gara-gara tindakannya menyerang seseorang pempengaruh dan pelakon Australia Pro- Israel, Nathaniel Buzolic.

Tindakannya itu membuatkan profilnya dipamerkan dalam perkongsian Instagram, Jew Hater.

Fatin Nurain