Categories: LIFESTYLE

7 Makanan Tidak Boleh Simpan Dalam Peti Ais

Peti ais merupakan peralatan ataupun kemudahan asas yang perlu ada di setiap rumah. Ianya membantu kita untuk menyimpan bahan makanan supaya tahan lama dan mengelakkan daripada tercemar dan basi.

Kebiasaannya, semua jenis makanan akan disumbat ke dalam peti ais selagi masih mempunyai ruang.  Tetapi tahu tak sebenarnya bukan semua makanan sesuai disimpan dalam peti ais?

Jenis makanan tidak boleh disimpan dalam peti ais

  1. Madu

Madu adalah antara makanan yang tidak sepatutnya diletakkan di dalam peti sejuk. Ini kerana dalam keadaan sejuk, madu akan bertukar menjadi butiran kristal dan keras seperti batu. Menyimpan madu di dalam peti sejuk juga akan menjejaskan kebaikan makanan yang kaya dengan khasiat ini.

  1. Roti

Jika anda mungkin akan menghabiskan roti anda dalam tempoh masa beberapa hari, sebaiknya jangan disimpan di dalam freezer. Suhu yang sejuk akan menukar struktur roti dan menjejaskan rasanya.

Tetapi mungkin anda boleh menyimpannya jika anda akan menggunakannya lebih daripada seminggu dan jangan lupa untuk panaskannya di dalam toaster atau oven sebelum makan.

  1. Tembikai

Ahhh…best-nya dapat makan buah tembikai yang sejuk. Tetapi buah tembikai seeloknya diletakkan dalam suhu bilik. Kenapa ya? Kerana terdapat penyelidikan yang mendapati antioksidan di dalam tembikai dapat dikekalkan apabila berada dalam suhu bilik berbanding suhu yang sejuk.

  1. Pisang

Pisang yang disimpan di dalam peti sejuk akan menyebabkan perubahan pada kulitnya. Ia akan menjadi hitam dan ada masanya ia akan menjejaskan rasa buah ini.

  1. Kacang

Suhu yang sejuk dapat mencegah minyak semula jadi yang terkandung dalam kacang menjadi tengik. Tetapi walau bagaimanapun, persekitaran yang sejuk boleh menjejaskan rasa kacang. Malahan kulit kacang juga boleh menyerap bau makanan lain yang disimpan di dalam fridge.

Sebaiknya, simpanlah kacang anda di dalam bekas kedap udara dan letakkan di pantri. Jika anda ada menyimpan kacang di dalam fridge anda, anda boleh toast kacang anda di atas pan sebelum menggunakannya.

  1. Pastri

Pasti ada yang menyangka, cara terbaik untuk menyimpan lebihan pastri adalah di dalam peti ais. Walau bagaimanapun, cara terbaik adalah dengan menyimpan ia di dalam beg kertas dan disimpan di tempat bersuhu bilik biasa. Jika disimpan di dalam freezer ia akan menjejaskan tekstur dan menjadikan ia lembap. Sudah tentu ia jadi tidak sedap dimakan.

  1. Sapuan roti

Sapuan pada roti sama ada coklat atau peanut butter, sebaiknya disimpan di luar peti ais. Ini kerana meletakkannya di dalam frigde akan membuatkan kedua sapuan roti ini menjadi keras dan sukar untuk disapu di atas roti. Cara terbaik adalah memastikan ia diletakkan pada ruang bersuhu bilik.

Sumber :  Hello Doktor

SGMS Enal