Jangan Pakai Alat Solek Selagi Usia Belum Cecah 20 an

Tengok si ibu bersolek, anak pun nak cuba juga. Ramai ibu-bapa yang suka menata wajah anak mereka dengan penggunaan alat solek.

Namun tahukah anda, akan ada kesan negatif pada kanak-kanak yang belum mencapai tahap umur yang sesuai menggunakan alat solek.

Menurut doktor kulit, Dr Alina Hasni, kulit kanak-kanak lebih mudah dijangkiti pelbagai kuman dan alahan. Oleh sebab itu, alat solek adalah sesuai digunakan seawal usia 20 tahun di Malaysia.

“Alat mekap yang mengandungi tahap merkuri yang tinggi boleh memberi kesan iritasi kepada kulit dan alahan contact dermatitis di mana boleh mencetuskan keradangan kulit kerana keadaan kulit mereka yang lebih lembut dan sensitif,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan jika produk itu mempunyai bahan yang tidak sepatutnya seperti merkuri dan logam kimia, ia tetap bahaya kepada kanak-kanak walaupun produk itu  mahal dan berjenama.

“Ibu bapa perlu mengambil tahu tantang kandungan yang terdapat di dalam alat mekap itu bagi mengelak kesan sampingan terhadap anak mereka dan memastikan produk itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Walaupun produk itu telah diluluskan oleh KKM, ia juga harus diambil kira berdasarkan keselamatan tahap toksin yang terkandung dalam sesuatu produk,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pembayang mata (eye shadow) adalah antara jenis mekap pengguna harus berhati-hati kerana kulit pada kelopak mata merupakan bahagian yang paling nipis berbanding bahagian lain.

“Di samping itu, penggunaan alat mekap kepada kanak-kanak akan meningkatkan proses penuaan dengan cepat, jadi lebih baik ia dielakkan supaya kulit akan menjadi lebih baik tanpa bahan kimia,” kata Dr Alina.

 

SGMS Faida