Categories: LIFESTYLE

Plein Air Riverscape Taman Eko Rimba Ulu Bendol 2021: Pameran Seni Alam Semulajadi Dan Keindahan Sungai

Menyemai penghargaan kepada alam melalui hasil karya lukisan merupakan tema yang diangkat oleh penganjur, PELUKIS dan juga Persatuan Pelukis Negeri Sembilan untuk Program Plein-Air Riverscape Taman Eko Rimba Ulu Bendol.

Pada 14 November 2021, program yang berlangsung di Taman Eko Rimba Ulu Bendol ini akan mempamerkan aspirasi pelukis terhadap kecintaan alam semula jadi dan kepentingan untuk menjaga keindahan khazanah alam.

Program di bawah pembiayaan Program Dana Tabung Bantuan Seni 2021 oleh Balai Seni Negara ini dijangka akan dihadiri oleh hampir 100 pelukis tempatan bermula 9.00 pagi hingga 5 petang dan akan dirasmikan sendiri oleh Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Tuan Ameruddin Ahmad.

Sepanjang program tersebut pelukis tempatan ini akan bersama-sama menghasilkan karya lukisan mereka dan akan dipamerkan untuk tatapan pengunjung.

Program ini juga dijalankan dengan kerjasama daripada pelbagai agensi tempatan termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Kelab Teater Asar Negeri Sembilan, MPKK Ulu Bendul, Pejabat Penghulu Luak Terachi, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, dan juga Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GAP’S) serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Orang ramai dijemput hadir bersama ahli keluarga dan kenalan bagi melihat keindahan alam alam semula jadi dari kaca mata anak seni dan menghargai kelestarian flora dan fauna yang tumbuh di Taman Eko Rimba Ulu Bendol. Masuk adalah percuma!

Padin