Categories: Sihat

5 jenis makanan yang perlu dielak untuk dinikmati pada waktu malam

Jus buah dari botol, bijirin sarapan dan roti pastri adalah antara makanan yang tidak sesuai untuk diambil sebagai sarapan kerana semuanya mengandungi jumlah gula yang tinggi, selain kurang berkhasiat.

Namun begitu, pernahkah anda terfikir mengenai pengambilan makanan yang tidak sesuai untuk dimakan pada waktu malam?

Banyak hidangan dipercayai akan membantutkan usaha untuk menguruskan badan dan mendapatkan tidur yang nyenyak.

Berikut ialah makanan yang perlu dielakkan pada waktu malam, sekiranya anda ingin mengurangkan berat badan.

1. Makanan berkanji

Ubi, pasta dan nasi adalah antara contoh makanan berkanji yang biasa dinikmati ketika makan malam.

Jurulatih kesihatan dan pelatih peribadi Tracee berkata, “Makanan ini akan dipecahkan menjadi gula dan akhirnya menyebabkan kadar gula darah dan insulin dalam badan meningkat.

“Hal ini tidak bagus kerana ia tidak akan dibakar untuk tenaga dan sebaliknya akan disimpan sebagai lemak. Saya sering memaklumkan pelanggan saya untuk mengambil protein dan sayur.”

2. Makanan pedas

Foto: Wikimedia Commons/Seena.g

Menurut pakar pemakanan, Karen Z. Berg, makanan pedas boleh menyebabkan pedih ulu hati, lebih-lebih lagi jika anda akan baring tidak lama selepas memakannya.

3. Karbohidrat ringkas

Jenis kumpulan makanan ini memang bagus untuk perkara tertentu, tetapi tidak sesuai untuk dimakan pada waktu malam.

Pakar pemakanan, Kieron Foster menjelaskan makanan sebegitu ialah makanan yang mempunyai indeks glisemik tinggi yang akan diserap dalam darah dengan kadar cepat.

“Jadi jika anda tidak bersenam untuk membakar gula ini, ia akan bertukar menjadi lemak dan tersimpan di dalam badan. Akhirnya berat badan anda akan meningkat,” katanya.

Karbohidrat ringkas termasuklah ubi, pasta, kek, pizza, air soda, gula semula jadi, sirap, glukosa, fruktosa, jus buah-buahan, roti dan kebanyakan bijirin sarapan, memang patut dielakkan pada waktu malam.

4. Makanan berlemak dan berminyak

 

Foto: Wavebreakmedia/ iStock

Memanglah makanan ini sangat menyelerakan, terutama selepas penat bekerja seharian. Tetapi anda patut ketepikan segala keinginan untuk menjadikannya sebagai hidangan makan malam.

“Secara amnya, makanan ini patut dielakkan jika anda ingin mengamalkan pengambilan makanan yang sihat, terutama pada waktu malam kerana ia sukar untuk dicerna. Akhirnya ia akan menjejaskan saluran pencernaan,” kata Karen lagi.

5. Coklat

Foto: Ricardo

Pemanis mulut yang paling diminati ini juga tidak sesuai diambil pada waktu malam. Jika coklat adalah kegemaran anda, Karen mengingatkan yang ia mengandungi kafein dan boleh menyebabkan anda sukar untuk lena.

Sumber: Insider

Ad Ops