Bukit Aman akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung penyebaran maklumat kononnya fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial, semalam.
Mwnurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata penyebaran maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya sedemikian adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
Susulan itu, katanya pihaknya akan menghubungi MCMC bagi menyekat penyebaran maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu perjalanan perbicaraan kes kanak-kanak autistik itu.
“Saya ingin katakan sekali lagi segala perkara yang membabitkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.
“Ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan (pelaku) kemudian kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.
“Ia memang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan yang akhirnya kita tidak akan mendapat keadilan kepada arwah adik Zayn Rayyan itu sendiri,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak.
Mohd Shuhaily berkata, penyebaran maklumat tidak bertanggungjawab sebegitu bukan sahaja boleh menjejaskan perbicaraan, malah memberi kesan kepada pihak pendakwaan, peguam bela serta keluarga Zayn Rayyan sendiri.
“Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi untuk kenal pasti pihak yang menyebarkan maklumat berkenaan.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak itu kerana segala penat jerih rakan-rakan (pasukan siasatan) yang lain dalam menyiasat (kes Zayn Rayyan) boleh tergugat dengan perkara yang berlaku ini,” katanya.
Berikutan itu, beliau berkata pihaknya akan berhubung dengan pihak MCMC untuk mendapatkan bantuan dalam siasatan termasuk menurunkan kandungan berkenaan yang dikesan dimuat naik di satu akaun di Telegram.
Mengulas mengenai adik kepada Zayn Rayyan yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Shuhaily berpendapat tindakan JKM itu adalah berasaskan tanggungjawab moral dan undang-undang (morale and legal responsibility) pihak jabatan itu untuk berbuat demikian.
“Ia mungkin susulan JKM melihat adalah perlu bagi pihaknya mengambil anak kedua pasangan berkenaan susulan mereka sudah dituduh mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menegaskan bahawa siasatan membabitkan kes Zayn Rayyan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah selesai, namun tidak menolak meneruskan siasatan mengikut seksyen itu sekiranya ada keperluan untuk perbicaraan.
“Seperti saya katakan semalam, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sudah tamat dengan pendakwaan semalam mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Namun perkembangan dalam perbicaraan itu sekiranya ada pendedahan (bukti) yang membawa kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) boleh mengarahkan kami dan kami sendiri akan menyiasat semula (mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu, bahawa siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih diteruskan sehingga pelaku sebenar ditemui.
Fahmi dalam sidang medianya di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, semalam dilaporkan berkata polis masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mencari siapa pelaku sebenar.
Semalam, ibu bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Sumber: Harian Metro
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Bapa Zayn Rayyan Selesai Diikat Jamin Sebanyak RM20,000
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Bapa Zayn Rayyan Mengaku Tidak Bersalah
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Keluarga Harap Ada Berita Gembira Esok – “Kita Sama-Sama Tunggu”
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Peguam Maklum Ibu Bapa Mangsa Boleh Dibebaskan Dengan Jaminan
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Zayn Rayyan Dibawa Ke Rumah, Lakonkan Semula Kejadian
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Keterangan Tak Selari Antara Punca Reman Ibu Bapa Disambung 6 Hari Lagi
ARTIKEL BERKAITAN: Situasi Di Luar Mahkamah Kecoh, Bapa Zayn Rayyan Sempat Jerit “Saya Dianiaya, Ini Semua Fitnah”
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Bapa Arwah Adik Zayn Rayyan Diberkas
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Zayn Rayyan: Atas Faktor Tertentu, Peguam Ibu Bapa Mangsa Tarik Diri
ARTIKEL BERKAITAN: “Semoga Hidup Pelaku Tak Tenteram Setiap Saat” – Bapa Zayn Rayyan
ARTIKEL BERKAITAN: “Bila Tengok Video Lama, Rasa Macam Tak Percaya Betul Ke Anak Aku Dah Pergi” – Ibu Zayn Rayyan
ARTIKEL BERKAITAN: “Jumpa Lagi Ya Abang, Mommy Rindu Sangat… Maafkan Mommy” – Ibu Zayn Rayyan
Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!








