Categories: Trending

“Ini Last Race Aku” – Pelumba CP150 Hafiz Temui Ajal Di Litar Lumba

Takziah diucapkan kepada keluarga pelumba CP150, Mohd Hafiz Nor Azman, yang menemui ajalnya semalam.

Bagi mereka yang berkesempatan menonton video Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor, yang tular sejak semalam, pemuda berusia 22 tahun itu disahkan maut selepas terbabit dalam kemalangan di pusingan akhir perlumbaan itu.

Menurut sahabat karibnya Nurhan Md Nayan, 22, Hafiz seolah sudah tahu dia akan meninggalkan litar lumba buat selama-lamanya apabila berulang kali menyatakan bahawa perlumbaan itu adalah ‘last race’ yang disertainya.

“Sekitar minggu lalu ketika menghadiri satu majlis kenduri, Hafiz berulang kali menyebut, ini ‘last race’ aku tiap kali kami bersembang mengenai perlumbaan motosikal.

“Saya dan rakan lainnya mulanya menganggap ia perkara biasa tetapi hari ini (semalam), baru kami faham maksud yang tersirat,” katanya. 

Sementara itu, kakak Mohd Hafiz, Nor Shaziela, 30, terkilan, apabila hasrat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa ibu bapa mereka menunaikan umrah, Januari depan tidak kesampaian.

“Sebelum perlumbaan lagi arwah beberapa kali cakap mahu pergi umrah bersama dan sudah siap buat persiapan.

“Dia cakap lepas habis semua ni, perkara pertama dia nak buat nak pergi umrah, nak bawa mak dan ayah, itu memang hajat dia,” katanya.

Allahyarham Hafiz yang merupakan pasukan Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing juga pemegang rekod tangga ketiga keseluruhan CP150, baru saja tamat menjalani latihan amali.

Difahamkan, Allahyarham sepatutnya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh sesi depan.

Sumber Artikel: Astro Awani

Sumber Video: Youtube

Yanie Baharom