Categories: Kisah ViralTrending

Berang Dihalang Masuk Kondominium, Pemuzik Ditahan Akibat Patahkan Pagar Automatik… Rupanya Ada Tunggakan RM6,448

Seorang pemuzik ditahan selepas didakwa mematahkan palang automatik di sebuah kondominium di Ampang Jaya kelmarin.

Memetik laporan Harian Metro, pemuzik tersebut bertindak sedemikian kerana tidak dibenarkan masuk akibat mempunyai tunggakan bayaran penyelenggaraan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya mendapat laporan mengenai insiden berkenaan daripada seorang eksekutif kira-kira jam 12.35 tengahari, kelmarin.

“Menurut pengadu, dia dimaklumkan oleh pengawal keselamatan yang lelaki berusia 55 tahun berkenaan memintanya membuka pintu pagar automatik untuk masuk ke dalam kondominium.

“Namun, pengawal keselamatan tidak membenarkannya untuk meletak kenderaan dalam kawasan kondominium kerana terdapat tunggakan bayaran penyelenggaraan sebanyak RM6,448.

“Suspek kemudian bertindak mematahkan palang pintu pagar automatik dan terus masuk.

“Syarikat pengadu mengalami anggaran kerugian RM1,500 akibat kejadian itu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, pihaknya juga telah menahan pemuzik lelaki tersebut di perkarangan Balai Polis Pandan Indah jam 8.50 malam.

“Semakan dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan didapati negatif dadah.

“Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” tuturnya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari