Categories: Trending

Luqman Hakim ‘Luqie’ Pamer Aksi Cemerlang Menentang KRC Harelbeke

Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mempamerkan aksi memberangsangkan bersama kelabnya, KV Kortrijk selepas diturunkan pada perlawanan ujian berdepan KRC Harelbeke, pagi tadi.

Luqman dilihat berjaya mempamerkan aksi meyakinkan selepas hampir sebulan bersama Harimau Malaya menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir 16 Jun lalu.

Berusia 19 tahun, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini masuk sebagai pemain gantian dan mendapat beberapa peluang untuk meledak gol, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Namun, kepantasan larian dan keyakinan tinggi dipamerkan Luqman menjadi pencetus kepada jaringan kelima pasukannya apabila dia dijatuhkan pemain lawan pada minit ke-86 dan memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada KV Kortrijk.

Bagaimanapun,  KV Kortrijk meraih kemenangan besar 5-0 menentang KRC Harelbeke.

Terima sokongan padu dari peminat Malaysia & Belgium

Walaupun sudah agak lama Luqman tidak beraksi bersama kelabnya itu, namun beliau masih mendapat pujian peminat menerusi komen di media sosial rasmi kelab KV Kortrijk berdasarkan persembahannya berdepan KRC Harelbeke pagi tadi.

“Luqman ada kemajuan selepas berlatih dengan Harimau Malaya. Kalau dapat main 100 peratus setiap perlawanan, lagi padu bila balik kelab.” -Tofikz Toxx

“Insya-Allah, satu hari nanti Luqman akan berjaya juga. Hanya sabar, belajar lagi kena kuatkan mental.”- Asrul Amar

Bukan sahaja peminat dari Malaysia, Luqman yang juga dikenali sebagai Luqie dalam pasukannya turut mendapat sokongan padu daripada penyokong KV Kortrijk di Belgium. Siap nyanyi lagu khas lagi untuk Luqie!

 

Salma Syahbuddin