“Dia Memang Tak Bekerja Dengan Saya Lagi!” – DSV Terkejut Pembantu Peribadi Gaji RM10,000 Hanya Berlakon Semata-Mata

Usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida (DSV) mengesahkan bahawa Qush atau dikenali sebagai Abang Qu sudah tidak berkhidmat lagi sebagai pembantu peribadinya (PA).

DSV atau nama sebenar Hasmiza Othman, 51, mengatakan awalnya dia mengambil Qush hanyalah untuk berlakon dalam muzik video (MV) lagu barunya, Ku Ikhlaskan.

Kemudian, pihak DSV berhasrat untuk mengambil Qush sebagai pekerja dan dalam proses mengeluarkan surat tawaran kepadanya.

“Sekarang ini dia memang tidak bekerja dengan saya lagi. Perjanjian asalnya memang saya mencari bakat-bakat untuk muzik video (MV) lagu baharu saya yang berjudul Ku Ikhlaskan. Saya pilih dia kerana merasakan dia mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian.

“Bagaimanapun sebelum ini pihak saya sudah keluarkan surat tawaran kerja yang mana perlu semakan berulang kali untuk persetujuan bersama, namun belum ada kata putus,” katanya.

Qush atau nama sebenar Syed Qusyairi Syed Mahmud Iskandar diumumkan sebagai PA kepada Vida pada 25 Februari lalu dan dikatakan menerima gaji sebanyak RM10,000.

Namun, jejaka itu membuat kenyataan mengejut di Instagram Live mendedahkan dirinya hanya berlakon sahaja sebagai PA Vida selama ini.

Qush mengakui bahawa dia tidak lagi berkolaborasi bersama majikannya kerana sehingga kini tiada sebarang surat tawaran diberikan.

“Selepas selesai rakaman muzik video ‘Ku Ikhlaskan’, saya menunggu surat perjanjian kerja kerana ia sangat penting, tapi masih tidak ada.

“Tidaklah saya guna perkataan berhenti, sebab awalnya ditawar untuk kolaborasi, tapi kini kami tidak lagi jalankan apa-apa kolaborasi bersama,” katanya.

Pendedahan Qush membuatkan DSV mempersoalkan niatnya melakukan perkara itu hanya untuk mencipta kontroversi dan meraih tumpuan ramai sekali gus menaikkan jumlah pengikut di media sosial.

“Baru sebulan siapkan MV dia sudah buat begini. Sudah pandai cedok ilmu drama dan bercerita untuk tambah view di media sosial.

“Saya sendiri tidak tahu kenapa dia buat perangai begini. Mungkin mahu elak dari memberi komitmen lanjut,” jelasnya.

Sementara itu, Vida juga menafikan isu ini sengaja direka oleh pihaknya untuk mencipta kontroversi tentang kisah dirinya.

Dia juga menganggap perkara ini adalah ujian dan peringatan buatnya supaya lebih berhati-hati memilih orang yang rapat dengannya.

“Ini adalah kisah benar. Saya tak sempat pun nak buat drama. Saya sudah berhadapan dengan pelbagai ujian dan ini adalah salah satu darinya.

“Ini juga peringatan kepada saya terhadap orang yang mahu mengambil kesempatan untuk popular. Dia sengaja mahu isu ini diperbesarkan,” ujarnya.

Sumber: mStar

Maya Basir