“Dia Mengaku Golongan Antivaksin” – Doktor Jual Sijil Vaksin Palsu Cecah RM600 Ditahan

Seorang doktor di klinik swasta di Marang, Terengganu ditahan atas kesalahan menjual sijil vaksinasi palsu pada Sabtu.

Memetik laporan Utusan, suspek berusia 51 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Mengabang Tengah.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, suspek didakwa telah melakukan perbuatan itu sejak September tahun lalu apabila klinik tempat dia bekerja memperoleh kebenaran untuk memberi suntikan vaksin secara berbayar.

Rohami berkata sijil vaksinasi Covid-19 yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh itu mencecah lebih 1,900 kepada pelanggan di serata negeri seperti Kuala Lumpur, Kedah, Johor dan Pahang dengan bayaran antara RM400 hingga RM600 seorang.

“Perkhidmatan penipuan sijil vaksinasi ini dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian termasuk melalui e-mel.

“Berdasarkan pengakuan awal, dia mengakui merupakan golongan antivaksin, malah turut melantik ejen dengan membayar komisen sebanyak RM50 bagi setiap satu sijil palsu yang dikeluarkan,” kata Rohaimi dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Isnin.

Rohaimi berkata doktor yang mengoperasikan klinik swasta terbabit selama 20 tahun merupakan doktor yang bertauliah.

Polis juga telah merampas beberapa barangan seperti satu set dokumen barang persetujuan suntikan vaksin Covid-19, satu set fail invois Sinovac, 97 kad peringatan vaksinasi, tiga set dokumen status vaksinasi serta komputer riba untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Walaubagaimanapun, enam kakitangan di klinik swasta tersebut tidak terbabit dalam kerja pemalsuan sijil vaksinasi setelah hasil siasatan awal dilakukan terhadap mereka.

Menurut Rohaimi, suspek melakukan perbuataan tidak beretika itu bersendirian malah segala dokumen berkaitan di simpan di laci biliknya.

Polis bersama Jabatan Kesihatan negeri masih menyiasat sama ada lebih 1,900 pelanggan yang mendapat suntikan vaksin Covid-19 di klinik itu betul-betul disuntik atau hanya untuk perolehi sijil palsu.

Sumber: Utusan

Kredit foto: BERNAMA

Arfah