Dr Say Shazril Risau Hadapi Kerosakan Buah Pinggang Tahap 2 & Air Kencing Berdarah

Pengacara dan doktor selebriti, Dr. Say Shazril mendedahkan dirinya mengalami kerosakan buah pinggang tahap 2 ketika mendapat keputusan pemeriksaan kesihatan penuh baru-baru ini.

Menurut perkongsian di akaun Instagramnya, Dr. Say meluahkan perasaannya selepas mendapat keputusan pemeriksaan kesihatan penuhnya.

“Terduduk saya dibuatnya. Januari 2021 jumlah kolestrol saya 8.3, Alhamdullilah tahun 2022 ini jumlah kolestrol saya turun kepada 7.0.

“Tetapi bacaan ini masih tinggi sebab normal value should be lower than 5.2. Bacaan kolestrol jahat (LDL) pula dari 6.2 turun kepada 5.44 tetapi masih tinggi lagi sebab normal value should be lower than 2.58.

“Buah pinggang saya berada pada kerosakan tahap 2 dan pada masa yang sama air kencing saya ada dikesan darah,” tulis Dr Say.

Selain itu, Dr Say turut bimbang apabila darah turut dikesan dalam air kencingnya.

“Adakah saya risau? Semestinya. Kali ini ada darah dalam air kencing tu yang buat saya sedikit cuak sebab normalnya tiada darah pada air kencing kecuali ada jangkitan atau ada batu pada buah pinggang.

“Mungkin saya perlu buat ultrasound sebab tak naklah dari tahap 2 tiba-tiba makin teruk sampai nanti kena cuci darah kalau buah pinggang sudah rosak tahap 5.

“Saya rasa sedikit lega apabila bacaan kolestrol makin bagus dan lebih cuak sebab kolestrol masih tinggi dan kisah buah pinggang itu,” luahnya.

Menerusi hantaran yang sama, Dr Say juga tidak lupa menasihati orang ramai agar tidak gusar untuk melakukan pemeriksaan demi kesihatan tubuh badan.

Marcella