JAIS Benar Rapatkan Saf Solat & Tarawih 20 Rakaat Bermula 1 April Ini

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan agar solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negeri Selangor dirapatkan saf seperti biasa bermula 1 April ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ketetapan tersebut dibuat setelah baginda mengadakan satu rundingan bersama beberapa agensi kerajaan negeri dan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga berkenan agar solat tarawih dibenarkan untuk dilaksanakan secara penuh iaitu 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan tahun ini di semua masjid dan surau di Selangor.

“Hanya individu berumur 18 tahun dan ke atas yang lengkap dua dos vaksin Covid-19, membawa sejadah dan memakai pelitup muka termasuk sahaja dibenarkan hadir ke masjid dan surau.

“Individu yang bergejala diminta menangguhkan dari menghadiri sebarang aktiviti di masjid dan surau sehingga tahap kesihatan dapat dipastikan demi menjaga kesejahteraan jemaah lain,” katanya.

Namun, baginda berharap agar seluruh rakyat Selangor terus berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh kementerian dari semasa ke semasa bagi mengelakkan penularan Covid-19.

 

 

Sumber : Sinar Harian

Salma Syahbuddin